Tuesday, 18 November 2014

Kejutan Dari Iszuree Ibrahim, Bendahari PAS Pulau Pinang

Iszuree Ibrahim

Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim memfailkan permohonan di mahkamah bagi kebenaran mencabar pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 14 November lepas melalui peguam Mohd Harris Abdullah. Iszuree Ibrahim mengedarkan salinan afidavit permohonan itu kepada pemberita pada sidang media pada Isnin.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MPPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri sebagai responden ketiga.

Dalam afidavitnya, beliau menuntut kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama pada 25 September 2014 yang memutuskan Iszuree Ibrahim dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua serta pembekuan semua peruntukannya.

Iszuree Ibrahim juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama pada 25 September 2014 yang memutuskan beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta-merta.

Sekiranya mahkamah membenarkan kedua-dua permohonan itu, beliau memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.

Iszuree Ibrahim juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam sidang media itu, Iszuree Ibrahim berkata tuntutan yang dibuat itu bertujuan menuntut keadilan dan memulihkan semula maruahnya kerana diberhentikan tanpa berpeluang membuat pembelaan.

"Ini adalah soal maruah... bukan saya hendak tuntut semula jawatan saya itu, jangan menghukum tanpa bicara.

"Saya berharap agar keadilan yang diperjuangkan dapat dibuktikan, jangan hanya cakap tidak serupa bikin," katanya.

Iszuree Ibrahim didakwa disingkir daripada semua jawatankuasa tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Bharu baru-baru ini yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan. ~malaysian insider





Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...