Saturday, 15 November 2014

Berita Menggemparkan Dari Cameron Highlands

cameron highlands

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan bersepadu bersama agensi berkaitan dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan secara haram di Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata dengan cara itu usaha kerajaan negeri memburu pihak-pihak yang terlibat dalam isu tersebut akan lebih berkesan.

"Sebelum ini kita pernah kemukakan 12 syor kepada kerajaan negeri Pahang bagi menangani isu berkenaan dan banyak cadangan yang disyorkan itu diambil tindakan secara proaktif oleh kerajaan negeri.

"Untuk penambahbaikan secara berterusan menggabungkan pelbagai agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi berkaitan adalah perlu supaya tindakan bersepadu dapat diambil kerana ia lebih berkesan dalam menangani isu tersebut," katanya hari ini.

Antara 12 syor yang dikemukakan kepada kerajaan negeri sebelum ini ialah kerajaan negeri diminta menentukan dasar yang jelas berhubung pembangunan tanah tinggi Cameron Highlands bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah Cameron Highlands.

Kerajaan Pahang sebelum ini dikritik kerana dilihat seperti 'lepas tangan' apabila banjir lumpur di Ringlet dan Lembah Bertam, Cameron Highlands berulang baru-baru ini yang disebabkan oleh penerokaan tanah haram di kawasan itu.

Sementara itu, Mustafar berkata SPRM tidak mempunyai kuasa menyiasat kes-kes seperti tanah runtuh atau pencerobohan tanah kerajaan secara haram jika ia tidak melibatkan pemberian atau penerimaan rasuah.

"Tapi sebagai langkah pencegahan, SPRM akan menjadi peneraju utama bagi memastikan tindakan diambil (jika terdapat unsur rasuah). Untuk pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan contohnya Persatuan Petani atau Jabatan Alam Sekitar kita boleh bekerjasama agar perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Katanya, SPRM akan mengambil tindakan holistik iaitu melihat kepada akar umbi, atau sistem prosedur dan bagaimana penambahbaikan boleh dibuat bersama jabatan berkaitan.

Ditanya mengenai sama ada SPRM pernah menerima laporan mengenai pencerobohan tanah haram di Cameron Highlands, Mustafa berkata seorang peneroka tanah haram diambil tindakan undang-undang kerana memberi rasuah RM20,000 kepada pegawai dari pejabat tanah (Cameron Highlands). ~bernama



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...