Friday, 3 October 2014

PAS Terengganu Buat Onar Lagi?


PAS Terengganu terus mengambil sikap mengkritik tindakan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat mengadakan sidang media bagi menyatakan sikap itu dengan menyerang Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam dua isu berbeza.

Di Selangor, PAS Terengganu menempelak tindakan kerajaan PKR Selangor yang mengarahkan bank membekukan akuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang diwakili bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tindakan Kerajaan PKR Selangor itu disifatkan sebagai tidak adil dan bermotifkan dendam sehingga sanggup menjadikan rakyat sebagai mangsa politik mereka, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Satiful berkata, sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tindakan itu amat tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan prinsip serta dasar perjuangan pakatan pembangkang.

"Kalau benar, ini tidak adil dan merupakan satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku, seolah-olah macam balas dendam. Tapi saya tidak pasti sama ada maklumat (dakwaan) ini betul atau sebaliknya.

"Kalau betul, ia tidak patut berlaku. Ini kerana, dasar pakatan pembangkang adalah kembalikan hak rakyat dan kenapa pula kita zalimi rakyat. Hak rakyat, kita kena bela," katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan Pas negeri di Jalan Sultan Omar di Terengganu hari ini.

Azmin berkata, beliau tidak terlibat dalam tindakan itu kerana ia prosedur standard yang ditetapkan pentadbiran Khalid sebelum ini sebelum beliau menjadi Adun Bebas.

"Ia dilakukan Khalid apabila Adun Perlabuhan Klang sebelum ini  menjadi Adun Bebas," kata Azmin dengan menjelaskan apa yang dibuat adalah menutup akaun di bawah Khalid kerana dia bukan lagi mewakili PR dengan memberikannya kepada penyelia DUN yang dilantik kerajaan negeri.

Satiful berkata, PAS Terengganu kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang  yang didakwanya menyingkirkan Bendahari PAS negeri itu, Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak demokrasi sambil berharap kerajaan DAP Pulau Pinang memberi maklum balas positif mengenai pemecatan Iszuree itu dan pembekuan peruntukannya.

"Kita harap kerajaan negeri beri respons dan perkara ini tidak selesai juga kalau kita pecat dia macam itu. Kita rasa ini merupakan satu tindakan yang tidak demokrasi dan perlu diperbetulkan," ujarnya.

Satiful turut mempertahankan Iszuree apabila menyatakan tindakan bendahari PAS Pulau Pinang itu yang menyentuh isu perumahan di negeri berkenaan diluahkan dalam muktamar yang menjadi platform untuk menyuarakan pemasalahan rakyat di negeri itu.

"Perkara ini pun sudah acapkali disebut Mazlan Aliman (pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat) dan terdapat 20 kampung Melayu terlibat dan terabai," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Mujahid Yusof sebelum ini berkata Iszuree tidak dipecat sebagai ahli majlis tetapi digantung semua portfolio lain.

Beliau dan ahli Dewan Harian PAS Pulau Pinang berjumpa dengan Lim Guan Eng semalam. ~malaysian insider




Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...