Wednesday, 1 October 2014

Tembelang Umno BN Terbongkar Lagi..


Badan bukan kerajaan (NGO) pemantau rasuah, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) hari ini mendesak ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas hutang 1MDB mencecah RM38 bilion dalam tempoh 5 tahun beroperasi.

"Rakyat Malaysia berhak untuk mendesak kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti pengurusan serta operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana yang digunakannya," kata Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga membangkitkan isu melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Cynthia berkata jumlah hutang yang besar dialami 1MDB serta dakwaan salah urus tadbir dan penyalahgunaan dana awam adalah membimbangkan.

C4 juga mempertikaikan langkah 1MDB yang menyimpan dana mereka di sebuah kepulauan Carribean, Pulau Cayman, berjumlah kira-kira RM18 bilion.
Berdasarkan laporan akaun 2013, dilaporkan 1MDB menerima sejumlah US$200 juta daripada pelaburan dana di Pulau Cayman, termasuk sejumlah pembayaran dividen bernilai US13 juta, dengan pulangan sebanyak 5.76% setahun.

"Mengapa sebahagian hasil kutipan daripada terbitan hutang 1MDB terpaksa dipindahkan ke Pulau Cayman, kepulauan syurga cukai Carribbean yang membolehkan 1MDB mengelak daripada ketelusan, akauntabiliti dan integriti walaupun pelaburan dana yang dipilih dikawal selia oleh pihak berkuasa kewangan yang dikatakan "liberal" seperti di Pulau Cayman dan dan Switzerland?" kata Cynthia.

C4 juga membangkitkan penangguhan pelancaran tawaran awam permulaan (IPO) untuk meraih RM10 bilion.

Selain itu, ia menyuarakan kebimbangan selepas pelabur antarabangsa seperti  Qatar Investment Authority (Qatar), Aabar Investments PJS (Abu Dhabi, UAE), Prudential (UK) dan perancangan Mega Islamic Bank (Kuwait) dilaporkan mungkin menarik diri daripada meneruskan pelaburan mereka di Malaysia ekoran tiada keyakinan.

Ketelusan dan integriti 1MDB juga dibangkitkan C4 dalam urusan pembelian 234 ekar tanah di Air Hitam, Pulau Pinang yang menelan belanja RM1.38 bilion pada September 2013.

C4 mendesak supaya Putrajaya mendedahkan maklumat terkini membabitkan pelaburan mereka.

"C4 gesa 1MDB dedah jumlah dana yang diletakkan di luar negara yang sudah dihantar kembali ke Malaysia untuk dilaburkan semula dalam aset tenaga dan hartanah, memenuhi tanggungjawab kewangan dan juga diletakkan di dalam negara untuk pengurusan tunai, rizab dan projek-projek yang akan datang.

"Unjuran kadar pulangan yang ditempatkan di dalam dan luar negara setahun, kadar kos kewangan setahun dan jumlah pinjaman serta bon 1MDB yang menikmati jaminan Kerajaan," kata kenyataan itu.

C4 juga mendesak supaya Putrajaya membentangkan status terkini kedudukan kewangan 1MDB ke Parlimen pada Oktober ini disamping menggesa supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengambil tindakan segera mengadakan inkuiri ke atas 1MDB.

"Pelihara wang negara! Dan jangan heret kami ke lembah perangkap hutang!" kata Cynthia. ~malaysian insider




Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...