Wednesday, 8 October 2014

Punca Sebenar Harga Minyak Naik Akhirnya Terbongkar


PETALING JAYA: Sekretariat BANTAH dan PROTES melahirkan rasa kesal dan mendakwa apabila harga minyak dunia jatuh, kita (Malaysia) menaikkan harga (minyak) pula.

Aiman Athirah Al-Jundi yang mewakili Sekretariat BANTAH dan PROTES berkata, berdasarkan rekod kajian mereka, dalam tempoh lebih kurang 24 jam selepas pengumuman kenaikan harga jualan petrol dan diesel yang berkuatkuasa 1 October lepas, kebanyakan dan hampir semua media-media berkaitan ekonomi melaporkan penurunan dan kejatuhan harga minyak.

“Telegraph UK, Bloomberg, Wallstreet, The Globe & Mail, Edmotoon Journal, Business Week, CNBC dan banyak lagi melaporkan kejatuhan harga minyak dunia.

“Bahkan ada yang menyebut ia jatuh sehingga ke paras paling rendah dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

“Maka, apakah motif disebalik rasionalisasi subsidi minyak rakyat ini? Tidak cukupkah kerajaan mengaut untung selepas merangka strategi mewujudkan RON95 di pasaran minyak negara?

“Atau sebenarnya ia satu cara kerajaan mahu menyelamatkan Petronas yang mungkin terkesan daripada kejatuhan harga minyak dunia? Seterusnya membantu proksi kerajaan daripada kalangan kapitalis IPP agar mereka kekal mengaut untung berbilion melalui cara memeras dan menindas rakyat jelata?” tanya Aiman Athirah.

Aiman Athirah berkata kerajaan Barisan Nasional juga harus memikirkan semula keuntungan IPP yang berbilion itu. Perjanjian IPP wajib dikaji semula. Segala keuntungan sepatutnya disalurkongsikan dengan rakyat, bukannya kekal dengan dasar yang kaya terus kaya, yang susah boleh jadi papa kedana.

“Tekuni ingatan dan teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Shah yang jelas membangkitkan isu ketidakseimbangan di antara peningkatan kos hidup dengan kenaikan pendapatan rakyat.

“Itu kritikan dan ingatan paling “simple”, dan kita harap jangan pula kerajaan Barisan Nasional mempergunakan atau menyalahgunakan mana-mana jabatan atau institusi kerajaan untuk menghukum mana-mana pihak yang mengkritik mereka dalam hal berkaitan periuk nasi rakyat ini.

Program ‘surface’ sebagai ‘make-up’

“Jangan pula sewenang-wenangnya menggunakan segala akta drakonian rimba bagi menutup mulut rakyat dan memasung mereka di kandang orang salah. Justeru kerana, isu kos hidup rakyat yang semakin tinggi dan menghimpit ini adalah denyut nadi kita yang getarnya hinggap ke setiap batang tubuh rakyat di seluruh pelosok negara,” katanya.

Aiman Athirah menambah, sepanjang lebih 10 tahun, isu harga minyak hanya dilayani dengan pelbagai alasan, janji dan program kononnya memperkukuhkan sistem pengangkutan awam.

“Mana hasilnya? Kerajaan yang ada juga sepanjang berapa kali Belanjawan Negara dibentang hanya mampu memberikan program-program ‘surface’ sebagai ‘make-up’ dan halwa telinga rakyat.

“Mengapa tidak difikir halacara baru yang konstruktif untuk menaikkan taraf hidup, pendapatan rakyat dan negara?

“Mengapa setiap kali mahu menangani masalah perbelanjaan defisit negara akibat gaya hidup mewah dan megah pemimpin-pemimpin negara, hanya rakyat yang perlu terbeban dan dijadikan mangsa?

“Ke mana pergi laba kekayaan negara yang semua tahu ia bukan sedikit kerana Malaysia ini hakikatnya negara yang kaya dengan segala hasil mahsulnya,” kata beliau. ~free malaysia today





Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...