Thursday, 30 October 2014

Penemuan Mengejutkan Dalam Perbicaraan Kes Anwar Hari Ke 3


Sampel DNA akan mengalami degradasi (terjejas kualiti) jika tidak disimpan dengan segera dalam peti sejuk beku, kata peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan hari ini, dalam usaha mematahkan hukuman yang disabitkan ke atasnya.

Menurut Ramkarpal Singh, sampel DNA milik Mohd Saiful Bukhari Azlan hanya disimpan dalam kabinet pejabat pegawai polis dan bukan dalam peti sejuk beku bagi mengelak degradasi dan pencemaran.

Ramkarpal, salah seorang daripada 14 peguambela Anwar, meneruskan hujah selepas mahkamah berehat sementara, dengan mempersoalkan integriti sampel yang diambil dan keadaan semasa ia disimpan.

Anwar, 67, dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada Mac tahun ini tetapi mendapat penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan yang bersidang sehingga esok. Beliau diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu didakwa meliwat Saiful, bekas pembantunya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun, 2008.

Ramkarpal berkata pegawai penyiasat polis gagal mematuhi prosedur dalam melindungi sampel itu.

Katanya, pejabat pihak pendakwaan mempunyai catatan menghuraikan prosedur yang sepatutnya diketahui semua penyiasat.

"Menurut catatan itu, sebaik diambil, bahan bukti itu perlu dihantar ke satu bilik pengeringan yang sewajarnya, menunjukkan ia perlu dilakukan secepat mungkin. Namun, perkara ini tidak dilakukan," katanya.

Sampel tersebut sebaliknya disimpan dalam laci kabinet selama 48 jam lagi. Dalam senario ini, kemungkinan pencemaran bakteria berlaku.

Sampel itu diambil daripada Saiful pada 28 Jun, 2008 tetapi hanya dihantar ke Jabatan Kimia pada 30 Jun.

Saiful juga tidak pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan segera selepas didakwa diliwat, tetapi menunggu 36 jam kemudian, kata Ramkarpal.

Secara keseluruhan, mereka mengambil masa 96 jam bagi menghantar sampel kepada ahli kimia kerajaan bermula dari masa kejadian didakwa berlaku.

Bagaimanapun, ahli kimia kerajaan Dr Seah Lay Hong memberi keterangan mengatakan DNA tersebut berada dalam keadaan "tidak tercemar".

Ramkarpal mempertikaikan keputusan ujian tersebut sama ada ia konsisten dengan jarak masa yang digariskannya, mengatakan sampel dalam keadaan tersebut tidak mungkin boleh dianggap "tidak tercemar".

"Saya juga boleh mempertikai mengatakan ia bukan sampel yang sama," katanya.

Kehadiran satu lagi DNA lelaki dalam sampel Saiful, yang diambil dari kawasan perianal juga menimbulkan keraguan terhadap integriti sampel itu, kata Ramkarpal .

Beliau berkata apabila terdapat keraguan, undang-undang biasa menuntut perkara itu diselesaikan dengan berpihak kepada pihak tertuduh bagi memberi manfaat kesangsian.

Menjadi satu kesalahan, kata Ramkarpal apabila Mahkamah Rayuan meletakkan beban bukti kepada pihak pembelaan dan bukannya pihak pendakwa.

Awal hari ini, pasukan peguam bela memberitahu mahkamah, DNA dari item dalam lokap Anwar diambil secara tidak sah kerana tidak ada bukti mengatakan Anwar menggunakannya iaitu berus gigi, botol air dan tuala.

Peguam bela juga membangkitkan beberapa perkara bagi menunjukkan Saiful bukan seorang saksi berkredibiliti kerana keterangannya yang sentiasa berubah.

Pasukan peguam bela Anwar terdiri daripada 14 peguam dan diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas ketua hakim persekutuan.

Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan Mac lalu, tetapi diberi penangguhan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Beliau dituduh meliwat Saiful di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun 2008. Mahkamah Tinggi membebaskan beliau pada Januari 2012 sebelum keputusan diubah oleh Mahkamah Rayuan.

Kes liwat ini merupakan kali kedua dihadapi Anwar, pertama pada 1998, apabila dituduh meliwat bekas pemandunya Azizan Abu Bakar. Namun, beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Kali ini, karier politik Anwar mungkin berakhir jika mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. ~malaysian insider




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...