Tuesday, 21 October 2014

Dr. Asri Buat Kejutan Yang Tak Di Sangka-Sangka..

Dr. Asri

Hukum menyentuh anjing tidak haram walaupun haiwan itu tergolong dalam najis berat, kata bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri berkata ulama sepakat mengatakan anjing yang kering tidak najis, namun ‎najis boleh disentuh tetapi dengan syarat perlu dibasuh jika hendak beribadat atau pun berurusan dengan masyarakat.

"Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah.

"Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis, "Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah," katanya memetik Riwayat al-Bukhari dalam responnya terhadap program "I Want To Touch A Dog", semalam.

Katanya, jika najis itu dianggap haram, ‎maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. ‎

Begitu juga dengan ‎mereka yang bekerja yang membabitkan bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain, katanya.‎

"‎Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek."

‎Menyentuh isu memelihara anjing dalam rumah, katanya jika tiada tujuan selain buruan atau menjaga ternakan, hukumnya adalah makruh.

Katanya, walaupun ada ulama yang mengharamkan, tetapi hadis Islam tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja.

"Maka hukum makruh dipilih oleh sebahagian ahli fekah.

"Hikmahnya mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakatan," katanya.

Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Islam ada sebab menghalang penganutnya memelihara anjing, antaranya baunya dan salakannya menakutkan sesetengah orang.‎

Katanya aspek fizikal anjing itu bertentangan dengan agama yang mementingkan kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara dan sahabat sandai.‎

"Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan.

"Salakan anjing dan bulu di sana sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu," katanya.

Tambahnya, anjing juga berisiko dari segi keselamatan dan kesihatan termasuk gigitan, najis, serta jilatannya.

Namun beliau menegaskan, cubaan Islam mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian tidak bererti membenarkan penindasan terhadap anjing.

"Un‎tuk mengelak jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan saintifik, maka Islam melarang kita memelihara anjing dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan," katanya.

Program itu dianjurkan bagi menghapuskan perasaan takut dan skeptikal masyarakat terutamanya Melayu dan Islam terhadap anjing.

Walaupun mendapat sambutan, namun ia juga mendapat kecaman termasuk mufti di beberapa negeri yang menganggapnya melanggar budaya masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung anjuran tersebut yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini, katanya Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis berat.

"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan yang ada," katanya dipetik laporan Bernama. ~malaysian insider





Iklan C (ii)









No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...