Friday, 24 October 2014

Pakatan Rakyat Kembali Retak.. Ini Buktinya?


Menjelang perbicaraan yang bakal memutuskan sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke penjara atau tidak, Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) dijadualkan bermesyuarat Isnin depan, sehari sebelum perbicaraan itu, bagi menyiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan.

Walaupun keadaannya serius, persoalan timbul apakah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyertai mesyuarat itu atau tidak kerana beliau tidak menyertainya sejak lebih setahun lalu.

Malah, beliau mula hilang daripada perhatian umum sejak berakhirnya kemelut menteri besar Selangor bulan lepas.

Menurut sekretariat PR, mesyuarat ini diadakan ketika sidang Parlimen berlangsung bagi membolehkan semua pemimpin PAS, PKR dan DAP boleh menghadirinya.

"Panggilan mesyuarat sudah dibuat, kita harap semua dapat hadir kali ini," kata sumber itu.

Menurut sumber, Hadi besar kemungkinan tidak akan menyertai mesyuarat itu kerana beliau akan berada di Kuala Terengganu keesokan harinya, 28 Oktober, bagi menyertai satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

"Saya rasa Tok Guru tidak akan ke Kuala Lumpur, kerana esoknya dia ada bicara di Kuala Terengganu," kata sumber yang rapat dengan beliau.

Anwar akan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini bagi memutuskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memenjarakannya selama 5 tahun selepas mahkamah itu menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau dalam kes liwat terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

PKR menggerakkan para penyokongnya untuk memberikan tekanan agar Anwar tidak dipenjarakan. 

Selain mengadakan perhimpunan ke seluruh negara, kabel diplomatik antarabangsa juga digunakan para penyokong Anwar untuk memastikan beliau tidak ke penjara sekali ini.

Antaranya, menggunakan hubungan peribadi Anwar dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Presiden Turki Raccip Tayyib Erdogan dan Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi.

Anwar dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata, beliau yakin Mahkamah Persekutuan akan membebaskannya daripada dakwaan itu. 

Kes Hadi di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 28 Oktober itu ialah bagi memberikan keterangan susulan saman bekas calon PKR Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, terhadapnya dalam isu pil kuda.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Hadi dalam satu ucapannya mendakwa sesetengah calon PKR menjual pil kuda (sejenis dadah) menyebabkan pihaknya tidak setuju meletakkan mereka sebagai calon.

Sehubungan itu, PAS meletakkan calonnya bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepada calon PKR termasuk di kerusi Bukit Besi.

Ketika ini Hadi masih berada di London. Beliau berlepas ke sana 14 Oktober lalu bersama beberapa ustaz bagi menyertai program di sana ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentang Bajet 2015 Jumaat lepas.

Tindakan beliau tidak menyertai sidang yang dianggap paling penting sebagai seorang ahli Parlimen itu dikritik hebat pelbagai pihak, khasnya pengguna media sosial.

Beliau disifatkan sebagai 'ponteng' tugasannya sebagai ahli Parlimen yang dipilih pengundi kawasannya di Marang.

Kepimpinan Hadi kini mencapai kemuncak krisisnya apabila pelbagai pihak baik secara terbuka mahupun tertutup mengkritik beliau. Terbaru, Mohd Tamrin Abdul Ghafar menyifatkan beliau punca masalah yang berlaku dalam PAS sekarang.

Tamrin yang baru saja meninggalkan PAS selepas dua tahun menyertainya, menyalahkah Hadi dan penyokong kuat beliau, kumpulan pro ulama yang dilabelkannya sebagai 'Taliban'.

(Taliban merujuk kepada golongan pelajar agama yang tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dibentuk Mujahidin Afghanistan yang berjaya menghalau penjajah Soviet di negara itu.)

Ditanya wartawan laman web Mole.my, apakah beliau merujuk kepada Hadi ketika mengatakan beliau menyesali pemimpin PAS, dan bukannya PAS sebagai sebuah parti, Tamrin menjawab:

"Sudah tentu. Hadi dan kumpulan Taliban yang sedang menguasai parti," tegas Tamrin dalam wawancara yang disiarkan portal berita itu.

Sebelum Tamrin, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad juga menyalahkan kumpulan 'Taliban' itu dalam tulisannya mengenai masalah yang berlaku dalam PAS.

Khalid membuat kesimpulan, strategi golongan ini adalah ‘Langgar Golongan Profesional’.

"Setelah menggelar diri mereka sebagai ulama atau pembela kepimpinan ulama, golongan baru memulakan serangan terhadap pimpinan lama, khususnya yang terdiri daripada golongan profesional yang pro-PR," tulis Khalid dalam blognya. ~malaysian insider






Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...