Monday, 13 October 2014

Gara-Gara Celupar.. Najib Kena Maki Lagi


Kenyataan Datuk Seri Najib Razak awal hari ini mengingatkan masyarakat Cina tidak membuat tuntutan kepada kerajaan sekiranya mereka tidak menyokong Barisan Nasional (BN) menerima kritikan hebat pemimpin pembangkang, ahli akademik dan pengguna Internet.

Mereka berkata, sebagai perdana menteri bagi sebuah negara, Najib Razak seharusnya mewakili semua rakyat Malaysia dan mendengar permintaan semua pihak, baik yang menyokong partinya mahu pun yang menentang.

Pengguna media sosial pula, sesetengahnya melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Najib yang dibuat semasa berucap di Perhimpunan Agung MCA itu, mengatakan beliau sendiri tidak berpegang kepada slogan 1Malaysia yang diilhamkannya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis di dalam akaun Twitternya: "Masih terus dgn nada angkuh..."

Manakala, pengerusi DAP Selangor Tony Pua menulis di status Facebook: "Memandangkan kami tidak menyokong kerajaan BN dan Najib tidak mahu dengar permintaan kami, mungkin dia tak perlu kutip cukai dari kami juga?"

Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan ucapan Najib itu satu kesilapan besar dan tidak seharusnya dibuat oleh seorang perdana menteri.

"Dia lupa yang dia selalu berkata dengan bangga yang 'saya akan menjadi perdana menteri untuk semua.' Sekarang dia bercakap sebagai seorang perdana menteri yang berpihak kepada satu kumpulan," katanya sambil mengharapkan agar Najib menarik balik kenyataannya.

Setiausaha DAP Anthony Loke bertanya adakah Najib sedar yang konsep utama demokrasi ialah memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin mereka melalui proses pilihan raya.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan mentadbir negaranya selepas pilihan raya dan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa berdendam terhadap sesiapa yang tidak menyokongnya," katanya.

Felo Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat, berkata kenyataan Najib itu menunjukkan beliau melihat dirinya hanya sebagai perdana menteri kepada 47% rakyat Malaysia.

"Kalau sesuatu komuniti atau individu terpaksa melepaskan hak mereka sebelum boleh membuat tuntutan yang sah kepada kerajaan, maka mereka patut lepaskan tanggungjawab untuk membayar cukai.

"Lagipun, menjadi kerajaan ialah tentang mengutip cukai dan membekalkan perkhidmatan. Membekalkan perkhidmatan tanpa mengutip cukai ialah kerja amal. Dan mengutip cukai tanpa membekalkan perkhidmatan ialah rompakan," katanya.

Dr Lim Teck Ghee dari Centre for Policy Initiatives (CPI) berkata Najib nampaknya tidak belajar dari kesilapan lalu apabila membuat sesuatu kenyataan yang kasar.

"Beliau selalu berkata begitu kepada masyarakat Cina, dan ia tak pernah berkesan. Beliau sebenarnya lebih memburukkan lagi keadaan bagi MCA apabila dengan kasar berkata, kalau kamu tak undi kami, kami tak akan jaga kamu."

Katanya, mengeluarkan kenyataan begitu di khalayak ramai sama seperti satu ugutan politik, dan ia berkemungkinan besar akan memakan dirinya sendiri.

Antara pengguna media sosial yang memberi komen di portal The Malaysian Insider ialah seorang yang menamakan dirinya Going_bananas, mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana mengaku BN tidak berlaku adil terhadap masyarakat Cina.

"Anda sepatutnya seorang PM sebuah negara berbilang etnik. Anda sepatutnya adil kepada semua, bukan hanya kepada penyokong anda sahaja," katanya sambil menambah ucapan Najib itu hanya akan menggalakkan kewujudan lebih ramai orang seperti Datuk Ibrahim Ali yang tanpa segan silu menyerang orang bukan Melayu.

Seorang lagi pembaca D1_Only menulis: "Betulkah ini, Najib? Bukankah kita tinggal di negara demokrasi?" dan beyondthefence mengatakan: "Saya rasa sepatutnya beliau kata, jangan harap orang Cina akan sokong BN sekiranya BN tidak memperbaiki dirinya."

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada satu sidang media menyalahkan portal berita kerana 'memutarbelit' ucapan Najib dan memberi imej negatif terhadap kerajaan.

Beliau menafikan laporan awal hari ini dan mengatakan Najib hanya melahirkan harapan agar komuniti Cina menyokong BN dan bukan Pakatan Rakyat. ~malaysian insider




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...