Monday, 13 October 2014

Muhyiddin Menggelupur Baca Tulisan A. Kadir Jasin


Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berpeluang menjadi timbalan perdana menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak berundur sebelum pilihan raya umum akan datang.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, situasi ini akan berlaku sekiranya Najib menyerahkan kepimpinan negara kepada sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini merupakan menteri pertahanan.

"Kalau dengan takdir Mohd Najib terpaksa berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik," tulis Kadir dalam artikel bertajuk "Isu Kepemimpinan: Memperkatakan Khairy Jamaluddin" dalam blognya "The Scribe A Kadir Jasin", hari ini.

"Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom timbalan perdana menteri maka jawatan PM mungkin jatuh ke tangan Hishammudin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM."

Menurut Kadir, ketika ini tidak ada pelapis kepimpinan Umno yang menonjol seperti menantu bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

"Dalam dunia yang dipacu oleh media sosial, ramai orang tahu bahawa Khairy menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan pada saat ramai pembesar Umno, termasuk menteri sendiri curi-curi hantar anak-anak mereka ke sekolah elit swasta. Beliau sendiri masuk menjadi anggota Tentera Wataniah.

"Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk dekad ini," katanya.

Kadir berkata, selepas Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno berikutan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12), Najib menjadi penyelamat kepada Khairy.

"Hari ini, kedudukan beliau dalam politik Umno boleh disifatkan sebagai unshakable - sukar digoyang. Sebagai Ketua Pemuda serta menteri belia dan sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki Umno.

"Untuk itu, beliau wajar berterima kasih kepada Mohd Najib kerana melantik beliau menyandang jawatan menteri belia dan sukan. Saya adalah antara orang yang mahu Khairy diberikan jawatan menteri apabila beliau menang Ketua Pemuda," katanya.

Menurut Kadir, gabungan jawatan Ketua Pemuda Umno dengan kementerian belia memberikan terlalu banyak kuasa dan kelebihan kepada Khairy berbanding barisan kepemimpinan Umno dan kerajaan yang seangkatan dengannya.

"Sama ada Mohd Najib menyedarinya atau tidak, Khairy kini muncul sebagai orang paling hadapan dalam pewarisan Umno. Selepas presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden adalah Khairy.

"Sebab itu pada masa lampau, presiden Umno dan perdana menteri amat berhati-hati memberi jawatan dan peranan kepada Ketua Pemuda. Tidak semua Ketua Pemuda diberikan jawatan, apatah lagi jawatan menteri belia," katanya.

Menurut Kadir, terdapat perdana menteri yang tidak memberikan jawatan menteri belia kepada ketua pemuda jika tidak diyakini kesetiaannya.

"Jadi kita tidak perlu hairan atau marah kepada Khairy kalau beliau nampak begitu yakin dan berani.

"Pertamanya, perwakilan Pemuda telah memberi undi mutlak kepada beliau dua kali berturut-turut. Keduanya, presiden Umno merangkap perdana menteri melantik beliau menjadi menteri belia," kata wartawan veteran itu. ~malaysian insider




Iklan C (ii)






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...