Wednesday, 8 October 2014

Keputusan Terbaru PAS Terhadap 2 Adun Sokong Wan Azizah

mustapha ali

PAS akan membuat keputusan pada 12 Oktober ini berhubung tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang membelakangkan parti Islam itu dengan menyokong Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  sebagai calon menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pada mesyuarat pada 12 Oktober itu nanti, nasib Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin akan ditentukan dan beliau akan membentangkan laporan penuh kes itu termasuk kenyataan kedua-dua Adun itu dalam pertemuan awal dengannya pada 29 September lalu.

"Segala butir percakapan mereka dalam pertemuan dulu itu, saya akan laporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat nanti.

"Dan bergantung kepada mesyuarat untuk membuat keputusannya bagaimana," kata Mustafa seperti dilaporkan Harakahdaily hari ini.

Saari dan Hasnul sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) bersama-sama 28 Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama mahu mengekalkan Khalid.

Semasa Muktamar Tahunan PAS ke-60, di Johor bulan lalu, kedua-dua Adun Hulu Klang dan Gombak itu dicerca dan dihina perwakilan termasuk Hadi yang menggelar mereka sebagai "broker dan barua" dan mendakwa Saari dan Hasnul "dibeli".

Mustafa memberitahu portal milik PAS itu, mengikut amalan biasa, apabila sesuatu kes itu diangkat kepada mesyuarat PAS Pusat, maka kes tersebut tidak perlu lagi melalui jawatankuasa disiplin parti.

"PAS Pusat ada bidang kuasa tersendiri untuk membuat keputusan berkait tindakan disiplin terhadap anggota parti," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Dalam satu majlis bersama DAP baru-baru ini Saari meminta orang ramai memaafkan PAS meskipun partinya menganggap dirinya sebagai pembelot dan kini sedang dalam proses untuk memecatnya.

Bekas tahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu juga mendedahkan beliau sudah berjumpa dengan pemimpin tinggi parti bagi memberi penjelasan tentang pendirian dan tindakannya semasa kemelut menteri besar Selangor.

Saari berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan parti untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Tindakan Saari memohon maaf itu bagaimanapun diselar Majlis Syura Ulama PAS yang mengatakan beliau tidak layak untuk berbuat demikian. ~malaysian insider




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...