Wednesday, 15 October 2014

Gara-Gara Kecut Perut, Najib Dan Rosmah Halang Pendedahan Mengejutkan Ini


Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan antara sembilan defendan yang cuba membatalkan saman yang difailkan oleh keluarga mendiang P Balasubramaniam yang akan mendedahkan peranan mereka yang didakwa menyebabkan penyiasat persendirian, isteri dan anak-anak beliau, terpaksa berada dalam buangan.

Peguam Americk Singh, yang mewakili balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan tiga anak mereka, memberitahu The Malaysian Insider perbicaraan ditetapkan 20 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Antara alasan yang diberikan defendan ialah keluarga Balasubramaniam tiada sebab munasabah untuk bertindak, tindakan mereka itu satu penyalahgunaan proses mahkamah dan ia menimbulkan skandal, remeh dan menyakitkan hati.

The Malaysian Insider difahamkan sekiranya perdana menteri dan lapan orang lain itu berjaya membatalkan saman itu, maka merit kes itu tidak akan diketahui orang ramai.

Ini termasuk mengapa Balasubramaniam terpaksa menarik balik kenyataan bersumpah pertama beliau dan mengapa dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan negara ini dan menetap di India.

Santamil dan anak-anaknya memfailkan saman bagi kerugian yang dialami semasa mereka berada dalam buangan antara Julai 2008 dan awal tahun lalu berikutan tindakan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya (SD) yang pertama.

Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Selain Najib dan Rosmah, defendan lain ialah adik-beradik Najib, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohd Nazim, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, anaknya Sunil Abraham, Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, peguam M Arunapalam dan peniaga permaidani Deepak Jaikshan.

Dalam saman itu, keluarga itu berkata 9 defendan itu menyebabkan SD kedua Balasubramaniam "dirangka tanpa arahan si mati dan seterusnya menyebabkan si mati menandatangani SD yang sama dalam keadaan diugut dan dipengaruh".

Balasubramaniam atau lebih dikenali sebagai PI Bala, merupakan saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, meninggalkan Malaysia tergesa-gesa selepas beliau menandatangani SD kedua pada tahun 2008, yang kononnya membersihkan Najib dari sebarang penglibatan dalam kes itu.

Beliau mula mendapat perhatian ramai selepas berkhidmat dengan penganalisis politik terkemuka Abdul Razak Baginda dalam kes Altantuya dan apabila beliau menarik balik SD pertamanya mengenai perkara itu pada 4 Julai 2008.

Balasubramaniam dalam SD kedua berkata beliau mahu "menarik balik seluruh kandungan SD pertama saya bertarikh 1 Julai, 2008. Saya mengesahkan SD pertama itu dalam keadaan terpaksa."

SD kedua juga mencatatkan yang semua penyataan yang dibuat tidak tepat dan tidak benar.

Balasubramaniam kemudian hanya membisu pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur di mana peguam barunya Arunapalam yang menjawab soalan media.

Mereka meninggalkan majlis itu selepas mengedarkan salinan SD kedua.

Arunapalam berkata anak guamnya berada dalam keadaan tertekan dan kecewa.

Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam memberitahu satu sidang akhbar yang penuh sesak, dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kandungan SD pertamanya mengaitkan Najib dan beberapa orang lain dalam pembunuhan Altantuya pada tahun 2006, adalah benar. ~malaysian insider




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...