Wednesday, 29 October 2014

Berita Gempar Yang Tidak Dihiraukan Ibrahim Ali Dan Perkasa


Ketika penyokong Pakatan Rakyat (PR) sibuk dengan kes mahkamah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, satu-satunya rumah di Kampung Chubadak, Sentul yang masih bertahan dirobohkan hari ini dan puingnya dibakar hangus.

Dua penuntut universiti yang cuba mempertahankan rumah itu daripada dirobohkan, ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Sentul.

Mereka ialah Abdul Muqit Mohamad, mahasiswa Universiti Malaya, dan Ahmad Fahmi Mokhtar, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Darul Quran.

Sehingga kini, mereka yang ditahan ketika bergelut dengan pekerja pihak pemaju yang cuba merobohkan rumah itu, masih dalam tahanan polis.

Menurut Presiden Gabungan Pelajar Islam Malaysia (Gamis) Abdul Malek Abdul Razak, kira-kira 30 pelajar yang aktif dalam Gamis dikerah ke kawasan itu apabila mendapat tahu pihak pemaju mahu merobohkan satu-satunya rumah penduduk yang masih bertahan di atas tanah itu.

"Kami diberitahu pengerusi Persatuan Penduduk di situ, dikenali sebagai Pak Ramli, yang rumah Makcik Wahidah mahu dirobohkan hari ini.

"Kami cuba mempertahankan rumah beliau, namun pekerja pihak pemaju memukul kami dan polis yang campur tangan akhirnya menangkap dua rakan kami," kata Malek kepada The Malaysian Insider.

Makcik Wahidah sayu melihat rumahnya diroboh dan kemudiannya dibakar hari ini.
Awal pagi tadi, pihak pemaju tiba bagi merobohkan rumah Wahidah Mat Salleh, 73, yang dibina semula oleh aktivis pelajar dan masyarakat dengan bantuan derma orang ramai selepas semua rumah di kampung itu dirobohkan pada Jun lalu.

Ketika itu, Wahidah bertegas tidak akan meninggalkan kampung dan rumahnya itu.

Turut serta membantu pekerja pemaju dalam operasi hari ini ialah pihak polis Light Strike Force (LSF), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Situasi menyedihkan berlaku apabila warga emas itu yang sudah 45 tahun tinggal di situ berusaha cuba mempertahankan rumahnya.

Antaranya, beliau melaungkan azan dan berdoa di depan rumahnya.

Kampung Chubadak, Sentul mula dibuka sejak 50 tahun lalu oleh peneroka bandar yang masuk ke Kuala Lumpur serentak dengan Kampung Chubadak Tambahan, Kampung Pasir, Kampung Chubadak Indah, Chubadak Hulu dan Chubadak Hilir.

Kira-kira 160 keluarga tinggal di kampung itu yang terletak hanya 5km dari pusat bandar dan sedang dihimpit arus pembangunan.

Sejak 12 tahun lalu, masalah mula timbul apabila pihak pemaju mahu membangunkan kampung itu selepas kawasan sekelilingnya sudah pesat membangun.

Menurut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1998, pihak yang ingin memajukan kampung itu perlu membayar pampasan sewajarnya kerana mereka bukan setinggan tetapi peneroka bandar.

Pada 1996, kampung itu dikejutkan dengan berita DBKL membenarkan pihak pemaju membina blok apartmen di kawasan kampung mereka.

Natijahnya, apabila bantahan dibuat, ramai antara mereka terpaksa bermalam di lokap polis kerana cuba mempertahankan kampung dan tapak rumah mereka.

Yang menjadi persoalan ialah, bilakah tanah mereka dijual kepada pemaju oleh DBKL?

Sebahagian mereka diberikan pampasan RM7,000 oleh pemaju dan satu unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda. ~malaysian insider



Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...