Thursday, 2 October 2014

Azmin Ali Sudah Tunjuk Belang?


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali didakwa membekukan saluran peruntukan kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang disandang bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Faekah Husin.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu mendakwa, Bendahari Selangor mengeluarkan arahan pada 25 September lalu supaya membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di dua kawasan terbabit.

"Saya percaya ia dibuat atas arahan Azmin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang itu berkata, ternyata segala jasa Khalid selama lebih 6 tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam yang disemai oleh Azmin.

"Azmin memulakan karier dengan langkah sumbang dan akan menghancurkan sifat hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri.

"Budaya ini amat berbeza di bawah pentadbiran Khalid yang menyemai budaya bekerja secara profesional tanpa dipengaruhi agenda politik dan peribadi," katanya.

Faekah mendesak Azmin Ali memberi penjelasan munasabah arahan ini bukan kerana politik balas dendam atau mahu menghukum Khalid.

"Saya percaya barisan pimpinan negeri yang lain tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia boleh membangkitkan kebencian yang berterusan terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang lama berputik dan semakin merebak  semenjak bermulanya ‘Langkah Kajang’," katanya.

Faekah juga mendakwa tindakan itu seolah-olah jawapan atau reaksi kepada titah Sultan Selangor yang menasihatkan agar kepimpinan negeri yang baru mengenepikan sengketa dan membuka lembaran baru demi rakyat.

"Nampaknya menteri besar baharu mahu menghukum bukan sahaja Khalid tetapi seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

"Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada Umno tetapi kepada rakan sekutu yang sama berjuang untuk rakyat dan amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas menteri besar yang selama ini bertungkus-lumus memperkasa program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya. ~malaysian insider





Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...