Sunday, 12 October 2014

Alasan Sebenar 2 Adun PAS Digantung Keahlian Setahun Terbongkar?


Dua Adun Pas Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor, baru-baru ini akhirnya digantung keahlian mereka selama setahun berkuat-kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka diberi tempoh selama 15 hari untuk merayu kepada Majlis Syura Ulama jika tidak bersetuju atau merasakan hukuman itu terlalu berat.

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Haji Hadi Awang hari ini.

Dan sebagaimana yang dilaporkan media, Shaari dan Hasnul belum lagi memutuskan sama ada mahu membuat rayuan atau sebaliknya, tetapi mahu menunggu surat rasmi mengenai hukuman itu terlebih dahulu.

Hukuman penggantungan keahlian kepada kedua-dua Adun ini sebenarnya sudah dijangka oleh banyak pihak memandangkan isu mengenai mereka begitu hangat diperdebatkan dalam Muktamar Pas baru-baru ini.

Tidak saja perwakilan yang membahas dan memperkatakannya, malah Presiden Pas, Haji Hadi Awang sendiri secara terbuka dan keadaan marah menuduh mereka itu dibeli melalui broker serta menggelarnya sebagai barua.

Bagaimanapun segala dakwaan Haji Hadi itu tidak pernah dibuktikan sehingga ini dan Shaari sendiri, selain menafikannya, turut mencabar agar tuduhan itu disertakan bukti jika benar beliau telah dibeli untuk memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah.

Seiring dengan itu, pelbagai pihak dalam Pas yang menyokong Haji Hadi juga turut menyerang kedua-dua Adun berkenaan dengan pelbagai hujah dan gelaran walaupun hakikatnya Shaari dan Hasnul bertindak atas semangat PR yang mana Pas masih lagi bersama dan merupakan sebahagian gabungan itu.

Dengan yang demikian, memanglah agak mustahil kedua-dua Adun itu akan dilepaskan begitu saja. Kalau dilepaskan begitu saja, tentulah memalu dan menjatuhkan air muka Presiden Pas yang telah membuat serangan terbuka itu. Hukuman gantung keahlian setahun ini tidak lebih untuk menutup malu dan menjaga air muka Haji Hadi saja.

Oleh kerana hanya untuk menutup malu dan menjaga air muka saja, itulah sebabnya hukuman gantung untuk tempoh yang lebih lama seperti sehingga pilihanraya umum akan datang atau pecat keahlian terus tidak diambil.

Kiranya benar dakwaan bahawa kedua-dua Adun berkenaan sudah dibeli untuk menyokong Dr Wan Azizah, sudah tentulah ia merupakan kesalahan yang serius dari segi perjuangan Islam dan sewajarnya hukuman pecat keahlian diambil.

Hukumah pecat keahlian bukan saja dianggap terlalu berat tetapi juga akan menyebabkan kerugian berterusan kepada Pas kerana menyebabkan kehilangan dua wakilnya dalam DUN Selangor.

Memandangkan hukuman gantung keahlian selama setahun ini hanyalah untuk menutup malu dan menjaga air muka Haji Hadi saja, tidak perlulah juga bagi Shaari dan Hasnul untuk mengemukakan sebarang rayuan kepada Majlis Syura bagi meringankan hukuman itu.

Bukan saja Majlis Syura dipercayai tidak akan melayan sebarang rayuan kerana kecondongannya yang jelas kepada kumpulan tertentu dalam parti itu, tidak mengemukakan rayuan juga membuktikan Shaari dan Hasnul tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang dipegang sebelum ini.

Tindakan mereka memberi sokongan terbuka bukan saja menyebabkan Khalid Ibrahim segera berundur dan sedar dirinya sudah kehilangan majoriti, malah memastikan kerajaan negeri kekal dibawah PR walaupun yang terpilih akhirnya sebagai Menteri Besar ialah Azmin Ali dan bukannya Dr Wan Azizah.

Lagi pula, tempoh setahun bukannya lama. Tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak terjejas apa-apa pun dalam tempoh penggantungan itu, cuma tidak boleh mewakili parti saja.

Bagaimanapun, jika dua Adun ini dianggap melanggar disiplin parti, elok juga Pas mengambil tindakan segera terhadap bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu rapat dan kerap mengikuti rombongan Perdana Menteri, Najib Razak ke luar negara.

Selain menunjukkan keakrabannya dengan Najib dan UMNO secara terbuka yang seolah-olah mencabar Pas, Nasharuddin juga beberapa kali menyarankan agar Pas keluar daripada PR serta meninggalkan PKR dan DAP.

Begitu juga dengan beberapa pemimpin Pas yang bertanding secara bertindih dalam PRU 13 lalu yang mana perbuatan itu secara jelas bertentangan dengan semangat PR yang didokong oleh Pas sendiri.

Kalau Shaari dan Hasnul Baharuddin yang ingin mempertahankan PR segera diambil tindakan, apakah pula istimewanya mereka yang melanggar semangat kebersamaan dan berkali-kali meminta Pas keluar daripada PR? ~shahbudin



Iklan C (ii)





2 comments:

  1. Ulasan bodoh dan dangkal konon hukuman ke atas dua adun tersebut hanya nak tutup malu Presiden! Hanya parti yang bacul membenarkan ahli2nya tidak perlu mengikut ketetapan parti dan ketuanya, seperti PKR yang exco2 Selangor dari PKR dan DAP secara terang2 melanggar arahan MB sendiri dan melanggar undang2. Kepada pengulas, di mana agaknya Azmin nak suruk muka kalau exco2 sendiri tak pedulikan undang2 negeri?

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...