Monday, 15 September 2014

Wajah Suspek Bocor Kertas UPSR Tersebar


Polis menerima empat hari perintah reman terhadap empat individu, termasuk guru besar sebuah sekolah di Pulau Pinang yang kini disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi berhubung kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Suspek lain adalah dua guru dari Pulau Pinang dan seorang ejen insurans dari Kuala Lumpur.

Perintah reman itu dikeluarkan selepas polis membawa suspek berusia lingkungan 30-an hingga 50-an di hadapan Majistret Nur Dahlia Azmi di Putrajaya hari ini.

Peguam mereka Ester Tan Siew Choo berkata, polis memohon permit selama tujuh hari, namun majistret hanya memberikan empat hari.

Tan berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan kandungan kertas berkenaan kepada orang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Assistant Commissioner Gan Kong Meng berkata, 12 individu ditahan untuk membantu siasatan.

Kertas soalan matapelajaran Sains dengan kod 018, 028 dan 038, yang dijadualkan pada Khamis ditunda berikutan kebocoran berkenaan.

Pada Khamis, kertas soalan mata pelajaran English dengan kod 014/1 dan 014/2 juga didapati bocor sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh juga mengeluarkan permohonan maaf disebabkan kebocoran itu.

Muhyiddin pada Jumaat juga mengarahkan penggantungan serta-merta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan timbalannya Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Kebocoran itu mengakibatkan 473,175 pelajar Darjah 6 di seluruh negara mengambil semula kertas soalan tersebut pada 30 September. ~tmi




Putrajaya: Seorang guru besar, dua cikgu dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014. 
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi di sini, hari ini ke atas guru besar dan dua guru berusia 30 hingga 54 tahun dari Pulau Pinang serta ejen insurans berumur 31 tahun dari Kuala Lumpur.  
Keempat-empat suspek yang diiringi polis tiba di mahkamah pada jam 10.20 pagi dengan berpakaian lokap itu, disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.  
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, keempat-empat tahanan reman itu adalah antara enam individu termasuk lima guru yang ditahan polis semalam, bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan kertas Science dan Bahasa Inggeris UPSR.

EMPAT individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan UPSR 2014 dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Putrajaya. 
Beliau berkata, daripada enam tangkapan itu, tiga guru ditahan di Pulau Pinang dan masing-masing seorang guru di Parit Buntar, Perak serta Kuala Ketil, Kedah. 
Manakala seorang agen insurans berusia 31 tahun ditangkap di Sentul, Kuala Lumpur.  
Gan berkata, dua daripada guru terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi.  
Menurutnya, sehingga kini polis juga sudah merakam percakapan 12 indiviu membabitkan enam pegawai Lembaga Peperiksaan (LPM), lima guru dan seorang wartawan selain merampas gajet komunikasi untuk siasatan lanjut.  
Kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada hari berkenaan.  
LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baru bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu. 
Susulan kes kebocoran itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. ~hmetro





Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...