Monday, 15 September 2014

Umno Kecut Perut, Suara Keadilan Di Rampas


PKR hari ‎ini mengutuk insiden rampasan sebanyak 300 naskhah akhbar milik mereka Suara Keadilan pada Rabu lalu dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

‎Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, tindakan merampas akhbar rasmi parti itu sama seperti mengekang kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun akta tersebut dipinda pada 2012, namun pindaan tersebut tidak mencukupi dan akta itu masih bersifat kuku besi dan tidak demokratik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Najib perlu memansuhkan akta tersebut dengan segera bagi membuktikan kesungguhan politik seperti mana imej perdana menteri yang mahu dilihat sebagai demokrat moderat.

Selain itu PKR juga menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan status permohonan permit akhbar itu yang dihantar sejak tahun lalu.

PKR juga turut mengutuk tindakan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bukan sahaja merampas akhbar itu malah turut memberi amaran untuk tidak meneruskan penjualan surat khabar itu.

"Saya difahamkan bahawa para peniaga yang menjual Suara Keadilan diberi amaran.

"Jika mereka terus menjual akhbar tersebut maka kedai-kedai mereka akan ditutup. Sekiranya benar, perkara ini amat mendukacitakan dan cukup zalim.

"Pihak KDN perlu mengesahkan sama ada perkara ini benar-benar berlaku, dan jika ya amalan ini wajib dihentikan," katanya.

‎Media melaporkan KDN merampas lebih 300 naskhah akhbar itu bagi keluaran bilangan 189 pada Rabu lepas.

Rampasan akhbar itu melibatkan kawasan sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra, Pendang dan Kepala Batas.

Akhbar itu dirampas dipercayai kerana mengetengahkan isu sekitar krisis menteri besar Selangor dengan laporan muka depan berjudul “Kekal satu nama, tidak berubah”. ~tmi

Lebih 300 naskah Suara Keadilan dirampas di Kedah

KEDAH 15 SEPT: Lebih 300 naskah akhbar Suara Keadilan Bil 189 dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kedah petang 10 September baru-baru ini. 
Antara lokasi rampasan KDN adalah sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra, Pendang dan Kepala Batas. Malah rampasan turut dilakukan terhadap naskah Suara Keadilan Bil 188 di sekitar Kepala Batas dan Jitra. 
Menurut Setiausaha Pengelola KEADILAN Cabang Alor Setar, Peter Jeyabalan yang turut membantu mengedarkan akhbar tersebut, serbuan dilakukan secara berkumpulan. 
“Tindakan mereka ini membuktikan kerajaan takut dengan perkembangan semasa yang berlaku sehingga cuba untuk menyekat maklumat sampai kepada rakyat. 
“Usaha mereka ini adalah satu perbuatan sia-sia kerana maklumat akan tetap sampai kepada rakyat, walaupun rampasan demi rampasan yang mereka lakukan, ” jelasnya lagi. 
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Syed Azman Ismail ketika mengulas kejadian rampasan ini berkata, tindakan KDN semakin terkebelakang dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. 
“Jelas terbukti BN semakin takut dengan situasi politik yang dilihat mencabar kedudukan mereka sebagai pemerintah yang penuh dengan korup dan penyelewengan kuasa dan kepimpinan. 
“Tindakan mereka merampas akhbar ini membuktikan ketakutan yang ketara apabila rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar pembohongan yang menjadi amalan kerajaan kini. 
“Rampasan ini juga menyebabkan rakyat ingin mendapat maklumat sebenar dengan mengggunakan aplikasi lain sebagai akses kepada tindakan KDN, dan ia akan menguntungkan PR, ” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kebebasan akhbar tidak boleh disekat oleh KDN kerana rakyat ingin tahu kedudukan sebenar situasi perkembangan politik dalam negara yang tidak mampu disalurkan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN secara adil walaupun telah 57 tahun mencapai kemerdekaan. ~keadilandaily



Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...