Tuesday, 9 September 2014

Tuan Guru Nik Aziz Bidas DAP Dan PKR


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritik keupayaan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menegaskan parti komponen Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP tidak berhak untuk memaksa presiden PAS itu menarik balik kenyataannya.

"Tidak ada hak orang lain (PKR dan DAP) paksa parti lain (PAS) buat sesuatu. Keputusan yang dibuat presiden PAS maka tidak ada hak untuk orang suruh tarik balik," katanya seperti dilapor akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Nik Aziz berkata, PAS lebih lama melawan Umno dan PKR serta DAP hanya sebagai menumpang dalam perjuangan melawan gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN).

"Kita adalah tiga parti (PAS, PKR dan DAP) yang berpakat melawan Umno dan PAS adalah 'kakak tua' (abang), PAS dibawa masuk ke Kelantan pada 1951 oleh (allahyarham) Ustaz Amaluddin Darus, saya sendiri masuk PAS pada 1957 dan mula bergiat.

"Orang lain menumpang, DAP datang kemudian, PKR menumpang kemudian, orang PAS ada pengalaman yang begitu banyak sebelum orang lain dan terima pelbagai dugaan, jadi Datuk Presiden (Hadi) buat kenyataan dan kenyataan ini daripada keputusan majlis-majlis (mesyuarat) sebelum ini," katanya.

Laporan itu juga dipetik mengatakan Nik Aziz bersetuju dengan keputusan PAS menghantar 3 nama calon menteri besar kepada Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadi baru-baru ini dilaporkan berkata PAS tidak menamakan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu tidak berkebolehan.

Dalam sesi soal jawab dalam dialog dan penerangan isu semasa di Rusila, Marang, Terengganu, Hadi berkata Dr Wan Azizah ditolak sebagai calon menteri besar Selangor bukan disebabkan beliau wanita tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang mempunyai kebolehan dan kelayakannya untuk menjadi pemimpin.

Dalam kenyataan balasnya terhadap penghinaan Hadi itu Dr Wan Azizah berkata beliau terguris dengan serangan peribadi presiden PAS itu.

Beliau bagaimanapun menghormati pandangan Hadi dan meminta penyokong PKR tidak menyerang bekas menteri besar Terengganu itu.

Susulan kenyataan itu, Pemuda PKR mendesak Hadi menarik balik kenyataannya.

Wanita DAP juga semalam membidas Hadi kerana enggan menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor.

Ketua Wanita DAP Chong Eng menyelar tindakan Hadi yang dilihat selalu mengubah keputusan dalam isu menteri besar Selangor dan secara tidak langsung menjejaskan hubungan baik antara parti Islam itu dan parti PR lain. ~tmi




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...