Wednesday, 10 September 2014

Sinar Baru Buat Pakatan Rakyat.. Baca Artikel Ini


Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengumumkan parti itu memberi laluan kepada calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Dr Wan Azizah berkata, keputusan tersebut dibuat atas dasar bertolak ansur dan kesepakatan sesama parti komponen Pakatan Rakyat (PR) walaupun kerusi tersebut ditandingi mereka pada dua pilihan raya lalu.

"PKR memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur, mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Dr Wan Azizah secara terbuka dan mempersoalkan kelayakan beliau sebagai calon menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah menekankan lawan utama mereka ketika ini adalah Umno dan Barisan Nasional (BN), bukannya bercakaran antara satu sama lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Saya percaya kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar Pakatan Rakyat terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan Umno dan BN," katanya.

Beliau berkata, isu semasa yang dihadapi rakyat ketika ini lebih penting, antaranya isu kenaikan harga barang dan penggunaan Akta Hasutan secara besar-besaran terhadap ahli politik PR, ahli akademik dan wartawan.

"Rakyat kini berdepan dengan kenaikan harga minyak yang saya jangka akan diumumkan sebelum Belanjawan 2015, pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjelang April 2015, tangkapan dan pelbagai tindakan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan selain adu domba perkauman dan keagamaan yang berterusan.

"Untuk berdepan dengan Umno dan BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam PR perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang Umno/BN," katanya.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, pada 20 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), Noor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

PKR pada awalnya menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut, bagaimanapun PAS Kelantan berkeras berkata kerusi tersebut hanya dipinjamkan kepada PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September. ~tmi





Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...