Thursday, 11 September 2014

Saksikanlah Kenyataan Najib Seperti Orang Hilang Akal..


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjelang April 2015 bukan langkah yang popular, namun rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan selepas melihat hasil daripada sistem percukaian baru itu.

Najib ketika berucap dalam Majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini berkata melalui penggantian Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) kepada GST, ekonomi negara akan terus berkembang pesat dan mampan bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Tidak mengapa kata GST tidak popular, tetapi selepas ekonomi lebih kukuh, rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan.

"Kita akan buktikan kita terus membawa rakyat dan negara ke arah yang lebih maju lagi," kata Najib dalam ucapannya di hadapan anggota Kabinet dan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk orang awam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Putrajaya tidak akan mengambil sebarang keputusan jika semata-mata membebankan rakyat kerana kerajaan hari ini dibentuk atas sokongan rakyat.

"Yakinlah, saya tidak akan susahkan rakyat Malaysia.

"Sebagai ketua kerajaan, pengerusi BN, saya tidak akan susahkan rakyat kerana kerajaan ini berdiri atas sokongan rakyat," katanya, dan menambah, keputusan itu diambil disebabkan kerajaan tidak mempunyai pilihan lain.

GST diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2013 di Parlimen dengan kadar 6% menggantikan SST yang kini dikenakan pada kadar 16%.

Sistem percukaian baru itu dipercayai dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada petroleumm, sekaligus menyaksikan Putrajaya melaksanakan program rasionalisasi subsidi bahan api yang menarik subsidi RM0.20 untuk kadar bahan api RON95 dan diesel. 

"Saya percaya kalau kita perkenalkan GST, kita akan beri manfaat terbesar kepada rakyat," kata Najib.

Presiden Umno itu turut berkata, keputusan diambil Putrajaya adalah selepas tempoh masa 30 tahun pengenalan GST ingin dilaksanakan di negara ini.

"Saya ingin menyatakan setelah perjalanan 30 tahun lamanya, kerajaan yakin dan percaya GST baik untuk rakyat dan negara ketika ini.

"Saya bukan menteri kewangan pertama yang menyebut tentang GST, menteri kewangan pertama yang sebut hasrat kerajaan hendak laksanakan GST pada 1992 dalam ucapan bajetnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Najib merujuk kepada Ketua Pembangkang yang ketika itu berada dalam kabinet kerajaan.

"Pada 30 Oktober 1992, Anwar ketika itu menyebut GST akan dilaksanakan pada tahun hadapan, tetapi Anwar buat 'u-turn'," katanya.

Beliau berkata, sekiranya sistem percukaian baru itu tidak mendatangkan faedah kepada negara, tidak mungkin Anwar akan mengumumkannya.

"GST sejak itu lagi dalam perancangan kerajaan. Kalau GST tidak baik, masakan Anwar dalam kerajaan ketika itu sanggup umum GST akan dilaksanakan.

"Siapa lagi sebut, Tun Daim Zainuddin, Tun Abdullah Badawi," katanya, merujuk kepada bekas menteri kewangan sebelumnya.

Najib turut mengambil contoh pemberian bonus kepada penjawat awam dalam setiap kali pembentangan bajet yang menelan belanja kerajaan sehingga RM5.6 bilion untuk bonus sebulan.

Katanya, jumlah itu adalah hasil kerajaan dan sekiranya kerajaan mula melakukan pinjaman untuk melaksanakan pemberian bonus, ekonomi negara akan terkesan.

"Apabila bajet dibentangkan tiap-tiap tahun, kalau pada ayat terakhir tidak sebut bonus, bajet akan dikira tidak baik.

"Tahu atau tidak kalau sebulan bonus hampir RM5.6 bilion. Tuan-tuan suka dapat bonus.

"Kalau hendak bayar bonus hendak pinjam duit daripada institusi kewangan, apa jadi, 'mengkarak'", kata Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, merujuk kepada perkataan "tersungkur" oleh masyarakat Pekan, Pahang.

"Ekonomi akan merudum sebab kita pinjam duit guna untuk perbelanjaan semasa. Tidak boleh," katanya. ~tmi



Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...