Wednesday, 3 September 2014

Ramai Lagi Pensyarah Bakal Didakwa Selepas Ini?


Pendakwaan bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom mengundang kebimbangan warga universiti terhadap kebebasan akademik negara ini.

Walaupun bersetuju “kebebasan akademik ada batasnya”, Pensyarah terkenal Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (bawah) berkata, pandangan golongan cendekiawan tidak harus disekat.

“Mereka adalah harta negara yang kita perlu jaga,” kata pensyarah Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“Yakinilah kehebatan sesebuah universiti itu bukan terletak pada bangunannya yang cantik tetapi terletak kepada keupayaan mahasiswa dan pensyarahnya untuk berbincang, mengkaji dan menulis dalam suasana yang mempunyai ruang untuk meraikan persamaan dan juga perbezaan.”

Azmi, 45, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009, pada 15 Ogos lepas.

Azmi yang juga presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM  dituduh menyebut perkataan itu di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di Jalan Hang Tuah.

Menulis di Facebook hari ini, Agus berkata, pendakwaan terhadap Azmi itu boleh menjadikan rakan-rakan dalam dunia akademik takut untuk meluahkan pandangan mereka dalam sesuatu isu.

“Apabila rakan akademik saya didakwa, saya menjadi takut untuk menulis. Saya perlu takut kerana saya tidak mahu didakwa seperti beliau,” kata Agus.

“Tetapi, sebagai guru politik apakah wajar jika saya mendiamkan diri sahaja tanpa berkongsi idea dengan rakan-rakan yang lain jika saya mempunyai idea dan pendapat politik yang hendak disampaikan?”

'Menegur demi yang terbaik'

Agus berkata, beliau tidak berdiam diri kerana ia “tidak adil” terhadap amanah untuk menyampaikan ilmu dan memberi pandangan balas kepada isu politik difikirkan perlu diperbetul.

“Bukan untuk mencabar sesiapa atau membenci atau menyukai sesiapa, tetapi untuk kita saling menegur bagi mendapatkan yang terbaik antara yang baik,” katanya.

Mengulas perwatakan Azmi, beliau mengaku tidak mengenalinya secara rapat tetapi pernah menemu bualnya sekali dalam rancangan bual bicara “Hujah” di TV9, yang dikendalikannya sebelum ini.

Daripada pengamatannya, tambah Agus lagi, Azmi seorang yang tenang dan mempunyai pandangan politik dan undang-undang yang jujur serta menulis berdasarkan ilmunya.

“Jadi apabila beliau didakwa, saya berasa terkilan jika saya tidak menulis pandangan saya tentang beliau,” katanya.

Azmi sifatkan satu tamparan 

Azmi sendiri menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai tamparan kepada kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

Ini kerana, katanya lagi, pandangannya dikeluarkan atas kedudukannya sebagai pensyarah undang-undang.

Ketika didakwa pagi tadi, kira-kira 100 orang, termasuk aktivis  dan mahasiswa, hadir menyatakan sokongan pada Azmi, sekali gus meluahkan kebimbangan terhadap kebebasan di universiti. ~mk





Iklan C (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...