Wednesday, 10 September 2014

Punca Ustaz Wan Ji Ditangkap Awal Pagi Tadi Tersebar


Seorang pendakwah Islam ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 awal pagi tadi berikutan kritikan lantangnya terhadap pihak berkuasa agama.

Wan Ji Wan Husin, 32, bekas AJK Dewan Ulama PAS Selangor, ditangkap di Shah Alam kira-kira jam 2 pagi tadi.

Difahamkan dia yang dibawa ke Balai Polis Seksyen 9 akan didakwa di mahkamah hari ini.Bagaimanapun, tuduhan khusus yang akan dibuat terhadapnya masih belum dapat dipastikan.

Terdahulu malam tadi, dia menulis posting di laman sosial Facebook mengatakan tidak sempat pulang ke rumah seharian semalam tetapi dimaklumkan mengenai kehadiran polis di luar rumahnya.

Ia diikuti posting dibuat seorang rakan Facebooknya meletakkan gambarnya dikatakan berada di dalam kenderaan polis untuk dibawa ke lokap.

Sementara itu, Pemuda PKR mengutuk tangkapan itu.

"Kami tetap komited menuntut kerajaan mendengar suara rakyat meminta akta ketinggalan zaman dan kejam ini dimansuhkan.

"Pada masa sama, kami akan membantu memberikan khidmat guaman kepada Wan Ji sekiranya dia didakwa di mahkamah," menurut satu kenyataan dikeluarkan ahli majlis pimpinan Pemuda PKR Zafril Eusoff.

Wan Ji sebelum ini pernah bercakap menentang pihak berkuasa agama negara ini dan mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Dia juga mengundang kontroversi apabila membuat komen berkenaan raja-raja Melayu dan pernah disoal polis beberapa kali.

Antara lain, Wan Ji berkata Sultan tidak boleh menjadi ketua agama.

"Apa yang salah tentang Malaysia ialah ketua monarki juga digelar ketua agama. Jika kita gunakan istilah itu, bermakna apa saja yang dilakukan ketua agama menjadi agama itu sendiri.

"Tetapi, sesetengah tindakan Sultan bertentangan dengan agama Islam. Imej Islam semakin rapuh kerana perkara yang mereka lakukan, yang tidak betul di sisi Islam," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temubual Februari lalu. ~tmi




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...