Friday, 19 September 2014

Punca 50 Perwakilan Pemuda Keluar Dewan Semasa Mat Sabu Berucap Didedahkan

mat sabu

Perwakilan dari Terengganu, Mohd Nor Hamzah, hari ini memberikan sebab kenapa perwakilan Pemuda termasuk dari Terengganu keluar meninggalkan dewan muktamar ketika Timbalan Presiden PAS Mat Sabu menyampaikan ucapannya.

"Pemuda lari kerana timbalan presiden meminta kita menyokong Jokowi, sedangkan Jokowi disokong kuat oleh Amerika. Kita perlu contohi Rasulullah," katanya yang juga ketua penerangan PAS Terengganu merujuk kepada presiden Indonesia yang baru dipilih, Joko Widodo.

Kira-kira 50 perwakilan Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi Rabu lepas keluar meninggalkan dewan sebaik saja Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memulakan ucapan perasmian muktamar dewan itu.

Ia dimulakan perwakilan dari Terengganu yang memakai jaket hitam dengan tulisan "Kami sokong Presiden dan Majlis Syura Ulama" dan diikuti perwakilan negeri lain khasnya Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun Mat Sabu ketika mengulas perkara itu menafikannya dengan berkata, mereka keluar untuk sembahyang bukan memboikot ucapan beliau.

Mat Sabu sebelum ini berkata pemimpin PAS harus berwaspada menggunakan Islam semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

“(Ini) kerana akan sampai masanya rakyat Malaysia akan melantik seorang “Jokowi” sebagai pemimpin mereka,” katanya.

Mat Sabu merujuk kepada Joko Widodo yang dipilih sebagai presiden Indonesia yang baharu.

Mat Sabu berkata, Jokowi digemari belia dan rakyat umumnya sungguhpun parti lawan cuba mengecam beliau sebagai tidak arif dalam Islam.

Semalam, ketika sesi membahaskan ucapan dasar presiden, para perwakilan mengkritik tindakan 50 perwakilan Pemuda yang lari meninggalkan majlis itu.

Perwakilan dari Kuala Krai, Zulkifli Yaacob menuntut Jawatankuasa PAS Pusat menyiasat tindakan tidak beretika ini.

Selain perwakilan, turut menyelar tindakan itu adalah pengguna media sosial yang antaranya menggelar mereka sebagai "50 gagak hitam".

Dalam ucapan perwakilan dari Terengganu hari ini juga menunjukkan nada yang berbeza dengan perwakilan negeri lain.

Ketika perwakilan negeri lain meminta Adun PAS menolak jika ditawarkan menjadi menteri besar Selangor sebagaimana keputusan mesyuarat AJK PAS Pusat, perwakilan Terengganu ini meminta ia diterima.

"Bukan kita yang minta, kalau diberikan kena terima," kata Mohd Nor yang merupakan Adun Bukit Payong, Terengganu.

Beliau juga mengkritik Mat Sabu apabila membuat kenyataan berlainan daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi yang pernah menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar.

"Bagaimana dia boleh kata itu kenyataan peribadi presiden," kata Mohd Nor dalam perbahasannya dan menganggap itu "satu tindakan tidak patuh, taat dan wala' kepada pucuk pimpinan parti".

Mat Sabu ketika ditanya media selepas Hadi menyokong Khalid awal Julai lalu berkata, PAS pusat hanya akan bermesyuarat 10 Julai mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, katanya, pandangan presiden ketika itu adalah pandangan peribadinya sebelum mesyuarat diadakan.

Dalam mesyuarat PAS Pusat yang dipengerusikan Hadi pada 17 Julai, dua calon diputuskan iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali. ~malaysian insider






Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...