Wednesday, 24 September 2014

Perhilitan Dedah Punca Biawak Serang Bayi


Biawak yang menyerang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di kuarters pekerja di Berjaya Resort, Pulau Tioman pagi semalam berkemunginan dalam keadaan lapar.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata biawak daripada spesies biawak air itu amat jarang menyerang manusia kecuali merasa terancam atau lapar.

"Haiwan liar itu mungkin terlalu lapar dan menganggap bayi berkenaan sebagai makanannya sehingga menyerang dan menggigit muka mangsa," katanya ketika dihubungi di Kuantan, semalam.

Khairiah berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan biawak terhadap Nurhidayah Abdul Rahman yang mengakibatkan luka sepanjang enam sentimeter di bahagian muka bayi malang tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia juga berpunca daripada faktor pengabaian soal kebersihan di kawasan sekitar sehingga menjadi tarikan kepada haiwan liar itu memasuki rumah untuk mencari makanan.

Sehubungan itu, Khairiah menyeru pihak pengurusan resort berkenaan supaya mempertingkat aspek kebersihan.

Antaranya termasuk memastikan pembuangan sisa makanan dilakukan secara lebih teratur untuk mengelak kawasan itu menjadi tarikan kepada haiwan berkenaan.

Dalam masa sama, katanya Perhilitan juga menghantar anggotanya ke kawasan kejadian bagi menyiasat punca sebenar haiwan itu menyerang manusia. ~malaysian insider




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...