Friday, 12 September 2014

Ex Peguam Negara Belasah Peguam Negara


Pertuduhan hasutan yang bertalu-talu terhadap wakil rakyat pembangkang dan individu lain dilihat sebagai "penindasan" dan bukannya pendakwaan, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman mengkritik tindakan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula kes selepas pertuduhan dikenakan.

Abu Talib berkata, luar biasa bagi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang juga pendakwa raya mendakwa dulu, kemudiannya membuat keputusan untuk kajian semula.

"Kita mesti berlaku adil dengan melakukan pendakwaan dan bukannya penindasan," kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah khas di Kuala Lumpur semalam.

Abu Talib, yang menjadi peguam negara pada 1980 hingga 1993, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Gani pada Selasa pihaknya mengkaji kes terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan beberapa lagi yang dihadapkan dengan tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948.

Gani berkata, ia adalah amalan biasa bagi pihak pendakwaan dan beliau akan menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, adil, tepat dan telus tanpa pengaruh mana-mana pihak.

"Mendakwa seseorang adalah perkara yang sangat serius kerana  ia memberi kesan kepada kredibiliti, kedudukan dan maruah tertuduh.

"Ia akan menyebabkan tertuduh dalam terganggu emosi. Malah, jika pertuduhan ditarik balik kemudian pun, kerosakan sudah berlaku,” katanya.

Abu Talib berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau hanya memberikan persetujuan kepada pendakwaan sekiranya terdapat 90% bukti untuk melakukan sabitan.

Katanya, pendakwaan dibuat berdasarkan undang-undang, keadilan dan pertimbangan kepentingan awam tanpa dipengaruhi pihak ketiga.

Beliau berkata, kenyataan Gani untuk mengkaji semula pertuduhan hanya memberi gambaran keputusan mengenakan dakwaan terhadap tertuduh dibuat tanpa pertimbangan teliti dan serius terhadap semua fakta yang ada.

"Adakah beliau (Gani) mengakui tidak adil dan telus apabila melakukan dakwaan, dan itu sebabnya mengapa beliau  mengkaji semula kes sekarang? Mungkin beliau perlu beri penjelasan," katanya.

Abu Talib berkata, bukan tugas pihak pendakwa mendapatkan sabitan tetapi memastikan keadilan terhadap pertuduhan dan mangsa.

Beliau berkata, Dr Azmi hanya mengulas mengenai undang-undang atau menjelaskan undang-undang.

"Malangnya, makna menghasut sangat luas. Di sinilah peguam negara perlu menggunakan kebijaksanaan beliau dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan," katanya sambil menambah pada zamannya hanya terdapat satu atau dua kes hasutan bagi pendakwaan.

Abu Talib, yang enggan menyebut sebarang nama berkata, terdapat personaliti yang membuat kenyataan hasutan kaum dan agama yang lebih serius tetapi tidak dikenakan dakwaan.

"Beliau tidak diperlukan untuk memberi penerangan tetapi ia amat ideal bagi meningkatkan keyakinan dalam soal pentadbiran keadilan dan jawatannya," kata Abu Taib merujuk kepada Gani.

Pada Rabu, Majlis Peguam Malaysia menyeru Gani menarik balik dakwaan hasutan terhadap Azmi, pemimpin pembangkang dan aktivis.

Presidennya Christopher Leong berkata Gani pada pembukaan Undang-Undang Tahun 2013 menyatakan "setiap orang perlu mengemukakan pandangannya tanpa penalti dan perlu ada satu semangat toleransi di seluruh rakyat".

Majlis peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 19 September bagi membincangkan resolusi berkenaan Akta Hasutan 1948.

Mahasiswa daripada university awam di seluruh negara juga menyertai hartal (protes) yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya sebagai solidariti terhadap Azmi.

Pada 2 September, Azmi didakwa menghasut berdasarkan kenyataannya dalam satu artikel bertajuk "Ambil laluan krisis Perak bagi mengakhir kebuntuan Selangor, kata Pakatan", yang diterbitkan dalam sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Ahli politik Sabah David Orok juga didakwa mengikut undang-undang yang sama pada 3 September kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad menerusi Facebook dua bulan lalu.

Sejak awal bulan ini beberapa ahli politik pembangkang termasuk Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran (PKR), Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Khalid Samad serta wakil rakyat Seri Delima RSN Rayer (DAP) didakwa mengikut Akta Hasutan.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP), Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR) dan aktivis Haris Ibrahim juga berdepan dengan perbicaraan kerana dakwaan menghasut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Wakil rakyat berisiko kehilangan jawatan mereka jika mahkamah mengenakan denda RM2,000 atau lebih, atau sekurang-kurangnya setahun penjara. ~tmi





Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...