Sunday, 21 September 2014

Patutkah Tuan Guru Presiden PAS Berucap Begini?

Muktamar

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat "broker" dan "barua" yang mencuri dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor yang menyaksikan mereka menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Hadi ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor berkata, 2 Adun itu – Saari Sungip dan Hasnul Baharudin – juga dicuri dan dibeli.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang melakukan tindakan tersebut.

"Mereka curi wakil rakyat kita.  Inikah etika kita bertahaluf?

"Kita tidak pandang ringan 2 wakil rakyat kita (tandatangan SD), ada jadi broker, yang jadi barua semua ada," katanya.

Hadi menegaskan, 2 Adun itu seharusnya berfikir panjang sebelum melakukan tindakan sedemikian kerana mereka berikrar ketika sebelum pilihan raya umum lalu untuk taat setia kepada parti.

"Tidakkah wakil rakyat kita berbaiah semasa nak pilihan raya?

"Mana lebih besar baiah atau SD?" soal Hadi dalam ucapannya sempena penutupan muktamar yang berlangsung selama tiga hari itu.

Beliau turut memberi amaran kepada rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain agar tidak menjadikan PAS sebagai tempat persinggahan demi mencapai tujuan dan matlamat mereka.

"Jangan jadikan PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan.

"Kita bertahaluf dengan PKR, DAP melalui titik persamaan. Ahli PAS mesti faham ada perbezaan," katanya.

Beliau juga menegaskan, PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk agenda politik mereka melalui nilai kesamaan, namun masih terdapat perbezaan daripada dasar-dasar asas parti.

"PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular sosialis. Kita bukan satu parti, nak makan sama.

"Bersama dalam titik persamaan mendokong demokrasi yang adil untuk semua," katanya.

PAS juga katanya tidak akan merebut jawatan menteri besar Selangor.

"PAS tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar, walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar. Walaupun tiada perjanjian bertulis.

"Tetapi ingat, di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja," katanya, dan menambah tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Dr Wan Azizah sebagai menteri besar tidak berlandaskan syarak.

"Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri.

"Lalu dilantik seorang kerana kecenderungan bukan kerana amanahnya. Saya tidak bersedia bawa ahli PAS ke neraka jahanam," kata Hadi.

Hadi berkata, pelantikan pemimpin seharusnya dibuat berdasarkan keupayaan mereka, dan bukannya kecenderungan dan strategi politik masing-masing.

"Jangan pandang ringan nak beri begitu sahaja, ada amanahnya.

"Jangan tengok ini strategi politik, harus lihat ini amanah Allah," katanya lagi.

Beliau dalam ucapannya turut memberi peringatan kepada ahli PAS untuk tidak menubuhkan jemaah baharu dalam PAS.

"Jangan tubuh jamaah dalam jamaah lain. Jangan tubuh parti dalam parti." ~malaysian insider

Addin:

Jikalau ada bukti, elok Tuan Guru Presiden dedahkan sekali. Elok tuduhan besertakan dengan bukti, takut jadi fitnah kerana tuduhan ini amat berat.








Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...