Monday, 22 September 2014

Pakatan Bunuh Diri Jika Adakan Pilihanraya Negeri.. Ikuti Penjelasan Penganalisis

pakatan rakyat

Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja berhadapan risiko kehilangan Selangor sekiranya pilihan raya negeri diadakan, malah mungkin mengalami perpecahan sekiranya PAS menerima kerusi menteri besar (MB) Selangor, kata penganalisis.

Sekiranya Sultan Selangor melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS sebagai MB esok, ia mungkin menyebabkan satu pilihan raya negeri diadakan kerana akan ada undi tidak percaya dibentangkan semasa sidang DUN November ini.

Dan PAS berkemungkinan kalah teruk pada pilihan raya ini akibat cara presiden parti dan golongan konservatif di dalamnya menangani kemelut MB ini.

Kumpulan ini mengatakan PAS akan terima jawatan itu sekiranya ia diserahkan kepada mereka.

Ini akan menyumbang kepada perpecahan dalam gabungan parti pembangkang yang berusia enam tahun itu kerana PKR dan DAP bertegas mereka tidak akan menerima pemimpin PAS menerajui negeri terkaya di Malaysia itu.

"Kalau PAS terima jawatan MB, ia akan mencetuskan pilihan raya negeri dan ini berpotensi menghancurkan Pakatan kerana ia satu pelanggaran perjanjian antara tiga parti itu. Ini akan mengakibatkan situasi yang tidak boleh dipertahankan lagi," menurut pengumpul suara Ibrahim Suffian.

The Star melaporkan Sultan Selangor mengadakan pertemuan berasingan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan wakil rakyat PAS Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi untuk melihat kesesuaian mereka sebagai pentadbir negeri.

Daripada jumlah 56 kerusi DUN di Selangor, DAP dan PKR, ditolak MB yang hendak disingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mempunyai 28 kerusi. Dengan sokongan dua wakil rakyat PAS yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan MB, membentuk 30 penggubal undang-undang negeri yang boleh membentangkan usul undi tidak percaya terhadap MB baru pada November ini.

Ibrahim berkata PR kemungkinan besar boleh menang dalam pilihan raya negeri sekiranya PAS tetap komited di dalam gabungan itu. Tetapi, memandangkan seakan ada permusuhan yang terjadi akibat kebuntuan kes MB ini, sukar bagi mereka membina semula kepercayaan dan menjalin kerjasama seperti sebelum ini.

Dan sekiranya PAS main kasar dan memutuskan bertanding di setiap kerusi yang ditandingi PKR dan DAP, ini akan mengakibatkan perpecahan dalam undi Melayu, dan ia hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

PAS akan mengalami kekalahan paling teruk, hilang 14 daripada 15 kerusi yang dimilikinya sekarang, kata Ibrahim yang mengetuai firma kajiselidik pendapat Merdeka Centre.

Daripada 15 kerusi itu, 9 merupakan kerusi marginal yang dimenangi parti itu dengan majoriti tipis dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Pokoknya, ini juga bermakna PR akan kehilangan Selangor yang ditadbirnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kerana ia perlu menang sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Adun untuk terus berkuasa.

Tanpa sokongan PAS, PKR dan malah DAP juga akan hilang beberapa kerusi yang mereka pegang sekarang.

"PAS sudah pasti akan dihukum oleh pengundi kerana cara mereka menangani isu MB ini," kata Ibrahim. "Sekiranya mereka mengambil tindakan secara bersama sejak awal lagi, sudah tentu situasi yang kita lihat sekarang tidak akan terjadi."

Penganalisis Wan Saiful Wan Jan berkata, ada kemungkinan kebuntuan sekarang akan berlanjutan sekiranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan menerima kerusi MB untuk PAS.

Walaupun terdapat protes daripada rakan dalam PR dan sebahagian pimpinan parti itu sendiri, presiden PAS itu semasa muktamar tahunan yang baru selesai, mengingatkan ahli parti memikirkan baik-baik masa depan mereka.

Dalam ucapannya, Hadi menasihatkan mereka melihat semula peranan PAS dalam arus perdana politik Malaysia dan membidas mereka yang mengkritiknya berhubung tindakannya dalam kemelut MB Selangor.

"Kalau mereka rasa mereka mahu berada dalam Pakatan, mereka mesti pastikan mereka lantik pemimpin yang menggambarkan aspirasi parti dan singkirkan mereka yang menentang aspirasi itu," kata Wan Saiful.

Menurut ketua Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) itu, sekiranya calon lain selain Dr Wan Azizah yang dilantik, parti dalam PR harus membincangkan bersama-sama tindakan yang akan diambil seterusnya.

Ketiga-tiga parti itu perlu membincangkan strategi mereka bersama kerana isunya sekarang membabitkan istana Selangor, yang menurut Wan Saiful masih sangat dihormati sebahagian besar masyarakat Malaysia.

"Saya rasa bukan satu strategi yang bijak untuk melawan pihak istana. Mereka perlu duduk dan fikirkan perkara ini semasak-masaknya. Lebih kuat mereka menentang istana dan pentadbiran negeri, lebih ramai orang rasa semua ini tidak berguna.

"Dan sekiranya isu ini terus berlanjutan, risiko kehilangan negeri ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Bagaimanapun, Profesor James Chin percaya PR akan bertindak lebih pragmatik.

Beliau yakin mereka tidak akan mengambil risiko menghadapi pilihanraya negeri sebelum terlebih dahulu menyelesaikan isu yang masih tergantung.

"Tidak akan ada pilihan raya segera sebab parti dalam Pakatan takut kehilangan lebih banyak kerusi.

"Keseluruhan kejatuhan ini disebabkan politik dalaman dan mereka tidak pasti bagaimana pengundi akan bertindak balas kerana ini bukan sesuatu yang didorong oleh isu tertentu," kata penganalisis politik dari Monash University Malaysia itu. ~malaysian insider





Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...