Monday, 29 September 2014

Portal Berita Popular Ini Menyebarkan Berita Salah?


PETALING JAYA: Pegawai Penerangan PAS Pusat, Mohd Shahir Abu Hasan menafikan laporan dalam satu portal media yang mengatakan dua ADUN PAS, Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin PAS hari ini

Menurut Shahir, beliau juga tidak mengetahui perkara tersebut dan hairan bagaimana portal tersebut boleh mengeluarkan laporan yang sedemikian.

“Saya juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada Penolong Setiausaha PAS Pusat, Khairul Faizi yang turut mengesahkan masih belum ada tindakan dibuat ke atas ADUN-ADUN terbabit ,” tegasnya ketika dihubungi oleh FMT.

Sebelum ini, portal tersebut melaporkan bahawa Saari menjelaskan beliau dan Hasnul telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk memberi penjelasan mengenai tindakan mereka yang didakwa telah membelakangkan parti.

Saari bagaimanapun bertegas tidak akan meninggalkan PAS meskipun tindakannya menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dianggap wira oleh DAP.

Semalam, Hasnul menyatakan kesediaannya untuk bertanding pada PRU akan datang atas tiket DAP, manakala Saari pula mengeluarkan kenyataan untuk bertanding sebagai calon Bebas sekiranya disingkir PAS.

Hasnul menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan dan tindakan tatatertib yang bakal dikenakan oleh pimpinan PAS Pusat. ~free malaysia today

Ikuti laporan Malaysiakini sebelum ini..

Saari, Hasnul menghadap lembaga disiplin PAS esok 
Dua wakil rakyat PAS menyokong Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor sebelum partinya membuat pendirian sebelum ini akan berdepan lembaga disiplin esok.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan Hasnul Baharuddin (Morib) telah dipanggil menjelaskan tindakan mereka itu.

Saari yang menerima sambutan wira daripada DAP ekoran tindakannya itu bagaimanapun menegaskan tidak akan keluar daripada PAS.

“Kalau jawatankuasa (disiplin) itu adil, berilmu dan objektif, tidak dipengaruhi selain daripada untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, saya akan tetap jadi ahli (PAS),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika takdirnya beliau dipecat, beliau berazam akan terus bersama Pakatan dan menjadi ahli politik tanpa parti.

“Parti saya Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hasnul sebelum ini berseloroh bahawa beliau masih boleh bertanding menggunakan lambang DAP.

Beliau bagaimanapun menegaskan tiada hasrat langsung melompat parti. ~malaysiakini




Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...