Friday, 12 September 2014

Khalid Ibrahim Layak Tandatangan Perjanjian Air Putrajaya.. Ikuti Penjelasan Penasihat Undang-Undang


Penasihat Undang-Undang Selangor Nik Suhaimi Nik Sulaiman mengesahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih berkuasa penuh sebagai ketua eksekutif negeri sekaligus melayakkannya menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri air dengan Putrajaya.

Nik Suhaimi berkata, selagi Sultan Selangor masih berkenan melantik Khalid sebagai menteri besar Selangor selaras dengan peruntukan mengikut‎ Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, maka beliau masih lagi boleh menjalankan kuasa penuh untuk melaksanakan tugas, fungsi dan tanggungjawab sebagai ketua negeri.

"Sehubungan itu soal ketidaksahihan tindakan atau keputusan yang dibuat oleh menteri besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan persekutuan tidak berbangkit memandangkan tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif menteri besar dan mengikut lunas perundangan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam responsnya terhadap Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kelmarin yang mempertikaikan kredibiliti Khalid untuk menandatangani perjanjian air bernilai RM9.5 bilion dengan Putrajaya yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Katanya, kesahihan perjanjian air dipersoalkan memandangkan kapasiti Khalid kini hanya pemangku menteri besar yang sedang menunggu proses peralihan kepimpinan pentadbiran negeri selesai.

Jelas Nik Suhaimi, Putrajaya juga sudah dimaklumkan tentang kedudukan Khalid, oleh itu rundingan serta perbincangan berkaitan perjanjian air masih diteruskan mengikut perancangan.

"Selaras dengan Perkara LI (1), Perkara LIII(2)(a) dan (4), serta Perkara LV(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang mana Sultan Selangor diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan seorang menteri besar Selangor.

"Keputusan baginda yang menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Khalid sehingga pelantikan menteri besar yang baru ditentukan, wajar dijunjung demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dan teratur," katanya.

Katanya, selain mengakui prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara, adab, tatatertib dan hak Sultan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 perlu dihormati demi kesejahteraan negeri.

Ia tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak.

"Kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan sekiranya dipercayai, berkemungkinan boleh menimbulkan kebimbangan dan kegusaran di kalangan rakyat," tambahnya.

Sementara itu, Khalid dalam kenyataan sama menasihati Charles dan ahli politik lain supaya lebih berhati-hati dan membuat kajian ilmiah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Katanya, ini bagi mengelakkan kekeliruan dan pandangan serong masyarakat terhadap pihak lain dan kepada mereka sendiri.

Charles hari ini mengulangi kenyataannya terhadap Khalid yang berstatus "caretaker" serta menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meyakinkan Putrajaya bahawa perjanjian akhir yang akan ditandatangani mereka itu tidak sah.

"Mana-mana pihak ketiga yang memasuki kontrak sebegitu harus sedar yang kerajaan negeri baharu yang akan ditubuhkan mungkin akan mengambil pendirian kontrak itu tidak ada ikatan undang-undang.

"Memandangkan ini isu serius, Peguam Negara harus menasihati kerajaan persekutuan yang perjanjian akhir penstrukturan semula industri air yang dijadualkan ditandatangani esok, mungkin tidak sah," katanya. ~tmi




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...