Thursday, 25 September 2014

Kantoi!! Rupanya Akta Hasutan Tidak DIluluskan Di Parlimen


Undang-undang era penjajah Akta Hasutan tidak mengikut Perlembagaan kerana ia bukan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, pasukan peguam kepada pensyarah undang-undang Profesor Dr Azmi Sharom memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini.

Gobind Singh Deo, yang mewakili Azmi dalam permohonannya merujuk kepada tuduhan hasutan kepada Mahkamah Tinggi mengenai isu Perlembagaan, berkata akta itu gagal mematuhi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Beliau berkata, Perkara 10 (2) seterusnya menyatakan dengan jelas sebarang sekatan kepada hak-hak ini perlu diluluskan oleh Parlimen.

Beliau berkata, Akta Hasutan yang ada bukan undang-undang sebelum merdeka dalam bentuk asalnya iaitu Ordinan Hasutan.

"Azmi Sharom tidak didakwa mengikut Ordinan itu. Beliau didakwa mengikut Akta Hasutan yang merupakan produk Suruhanjaya Pemaharuan Undang-Undang. Justeru, kita perlu membuat keputusan jika produk ini khususnya, yang tidak diluluskan oleh Parlimen, adalah mengikut Perlembagaan," katanya .

Beliau berkata, ia tidak pernah dikemukakan di mahkamah sebelum ini.

Pada 2 September, Azmi, pensyarah di Universiti Malaya, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan berkenaan komen beliau dalam artikel berita bertajuk "Ambil laluan krisi Perak laluan krisis untuk segera tamatkan kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu".

Jika sabit kesalahan mengikut mana-mana pertuduhan, beliau akan menghadapi denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim bagaimanapun berhujah, Perkara 162 Perlembagaan yang diperuntukkan undang-undang sedia ada sebelum merdeka terus berkuatkuasa sehingga ia dimansuhkan.

Beliau berkata, kesahihan Perlembagaan Seksyen 4 Akta Hasutan diputuskan Mahkamah Rayuan pada tahun lepas apabila ia memutuskan tuduhan hasutan yang dibawa terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei mengikut Seksyen 4 adalah menurut Perlembagaan dan menolak permohonannya untuk dibatalkan.

Mat Shuhaimi daripada PKR, didakwa pada 2011 mengikut hasutan berhubung posting di blog beliau, srimuda.blogspot.com mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.

"Oleh itu ia bukan satu isu lagi dan mahkamah ini tidak mempunyai pilihan tetapi menafikan permohonan ini," kata Suhaimi.

Gobind mematahkan hujah dengan mengatakan isu sama ada Akta Hasutan adalah “undang-undang oleh Parlimen” tidak diuji Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi.

Beliau berkata peguam Mat Shuhaimi berhujah mengenai isu kewajaran dan tidak membangkitkan isu sama ada peruntukan mengikut Perkara 10 (2) Perlembagaan mengenai “undang-undang oleh Parlimen” mempunyai kesan ke atas Seksyen 4 Akta Hasutan.

"Isu di sini adalah Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan hanya undang-undang oleh Parlimen boleh menyekat kebebasan itu, dan pendirian kami adalah Akta Hasutan tidak diluluskan oleh Parlimen," kata Gobind.

Beliau juga memberitahu Hakim Zanol Rashid Hussain, peranan beliau bukan melihat butir-butir dalam permohonan untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Tinggi, tetapi untuk membuat keputusan sama ada terdapat persoalan yang perlu dirujuk kepada mahkamah lebih tinggi dalam kes ini.

Hakim kemudian menetapkan tarikh 1 Oktober untuk keputusan.

Gobind dibantu oleh Datuk Malik Imtiaz Sarwar pada pendengaran hari ini.

Beberapa bulan kebelakangan ini, ahli-ahli Parlimen pembangkang, wartawan dan pendakwah agama ditahan mengikut Akta Hasutan 1948.

Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, wartawan Malaysiakini Susan Loone adalah di antara yang didakwa dengan hasutan atau disiasat mengikut undang-undang berkenaan.

Siri pendakwaan beramai-ramai oleh Putrajaya hampir sama dengan Ops Lalang 1987 yang menahan lebih 100 pemimpin pembangkang dan aktivis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ~malaysian insider


Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...