Thursday, 25 September 2014

Insiden Gaduh DBKL vs Penjaja.. Ikuti Penjelasan DBKL

DBKL

PETALING JAYA: Ekoran video pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergaduh dengan seorang penjual air di Taman Rekreasi Tasik Pemaisuri yang menjadi viral di laman sosial Facebook, DBKL tampil memberi penjelasan punca kejadian tersebut.

DBKL menjelaskan, sebelum kejadian tersebut, pihaknya telah mengeluarkan sejumlah lapan notis kesalahan kepada lapan penjaja tanpa lesen di lokasi berkenaan yang bertarikh 16 September 2014.

Pada 20 September yang lalu, jam 5.45 petang, lawatan susulan dan pemantauan yang melibatkan 15 orang pegawai dan anggota penguatkuasa dengan bantuan tiga buah kren tunda mendapati enam penjaja berlesen dan sembilan penjaja tanpa lesen sedang beroperasi.

“Ketika pemantauan tersebut, lapan penjaja telah diambil tindakan sita tanpa ganguan. Namun apabila tindakan hendak diambil ke atas penjaja, tiba-tiba seorang penjaja wanita yang menjual air bertindak agresif dengan menghalang penguatkuasa dari menjalankan tugas.

“Wanita tersebut telah bertindak menarik baju petugas (anggota wanita) sehingga menyebabkan tudung beliau terbuka namun beliau tidak mengalami kecederaan,” dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa pegawai dan anggota petugas lain telah berjaya mententeramkan keadaan. Tangkapan ke atas penjaja wanita tersebut tidak dibuat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.

Barangan yang disita telah dihantar ke Stor Sitaan DBKL setelah keadaan terkawal dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Salak Selatan, Cheras berhubung kejadian tersebut.

Menurut DBKL juga, pihaknya sering mendapat tentangan sebegini semasa mengambil tindakan penguatkuasaan.

Walaubagaimanapun pegawai dan anggota penguatkuasa telah diarah untuk mematuhi prosedur penguatkuasaan (SOP) semasa mengambil tindakan. ~free malaysia today




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...