Monday, 29 September 2014

Buat Julung-Julung Kali Utusan Laporkan Yang Betul?

tuan guru nik aziz

Banyak pihak yang melihat kemelut politik di Selangor meletakkan Pas dalam situasi rugi apabila hubungan parti itu dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan mula retak.

Konflik tersebut juga dikatakan meretakkan anggota dalaman Pas sendiri. Jika tidak dibendung ia mampu memecahbelahkan parti itu memandangkan perselisihan pendapat beberapa kelompok yang wujud dalam Pas semakin ketara.

Paling ketara dengan kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi ‘Pas baharu’.

Sebagai Mursyidul Am Pas, pasti ramai yang mahu mendengar pendapat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang konflik yang melanda parti Islam itu terutama selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas Ke-60 yang mencipta pelbagai kejutan baru-baru ini.

Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN dan jurugambar ROSNI MASRI menemui bekas Menteri Besar Kelantan itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu untuk mendapatkan pandangan beliau tentang konflik yang melanda Pas.

Dalam ruang pertemuan yang ringkas di rumahnya, Nik Aziz yang sinonim dengan panggilan ‘Tok Guru’ secara terbuka berkongsi beberapa pandangan yang tidak pernah disampaikan kepada umum sebelum ini.

Antaranya pertembungan golongan profesional dan ulama dalam Pas, kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang, kebimbangan beliau terhadap kewujudan ‘broker dan barua’ serta kekecewaannya terhadap Pasma.

MINGGUAN: Apa pandangan Tok Guru apabila Pas sekarang dikatakan berdepan dengan krisis kepemimpinan sehingga membawa kepada perpecahan memandangkan sudah ada pihak mula berani mempersoalkan kredibiliti golongan ulama secara terbuka?

NIK AZIZ: Politik Islam mula dikenali di Tanah Melayu pada tahun 1950-an. Sebelum ini tidak ada politik Islam. Yang ada demokrasi, komunis, sosialis dan sebagainya. Oleh yang demikian, bila politik Islam diperkenalkan di Tanah Melayu dulu, mulalah orang kritik. Yang kritik itu bukan Cina atau kaum lain, tetapi Melayu sendiri. Melayu golongan Eropah, Yahudi (berpendidikan sekular). Bagaimanapun, itu pada awal dan sekarang ini politik Islam telah dipimpin oleh ulama. Golongan ulama ini ialah orang yang berilmu Islam.

Sekarang ini semakin ramai golongan intelektual menyertai Pas. Pada waktu saya mula-mula masuk Pas tahun 1967, ada seorang sahaja intelektual atau orang universiti yang menyokong parti Islam. Keadaan sekarang jauh berbeza kerana sudah ada pensyarah dan doktor, baik doktor perubatan mahupun Ph.D (doktor falsafah) menyokong parti Islam. Selepas Nabi Muhammad SAW meninggal dunia, di tengah-tengah itu bermacam-macam timbul masalah kepada Islam. Ada sunnah, sunni dan syiah. Di Timur Tengah, ada macam-macam gerakan baik yang benar-benar Islam atau menjadi ejen kepada Amerika untuk timbulkan pecah-belah. Jadi tak pelik kalau perkara sama berlaku di Malaysia.

MINGGUAN: Apabila berlaku krisis dalaman, individu yang disalahkan ialah Presiden Pas iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau dikatakan pemimpin yang lemah dan perlu diganti, malah pendapat dan keputusan beliau disanggah ahli sendiri. Mungkin sudah sampai masa beliau diganti?

NIK AZIZ: Tok Guru Haji Hadi lemah atau tidak, itu bukan persoalannya. Cuba orang lain ambil alih pucuk pimpinan, macam itu juga jadinya. Akan ada orang tuduh juga. Kalau Hadi undur, mari orang lain (gantikan beliau) kena tuduh juga. Macam-macam tuduhan akan tetap timbul.

MINGGUAN: Sejak kebelakangan ini, suara ulama terutama Majlis Syura dilihat seakan-akan semakin terpinggir manakala suara profesional semakin didengari dalam Pas. Apa pendapat Tok Guru?

NIK AZIZ: Tidak terpinggir, cuma sebab dia (ulama dan profesional) semakin bersatu. Dia jadi orang sama, yakni ulama itu adalah profesional, profesional itu adalah ulama.

MINGGUAN: Kalau kita lihat sekarang, perasaan prejudis terhadap kepemimpinan ulama semakin ditunjukkan apabila keputusan dibuat dibantah secara terbuka. Sepatutnya ahli parti menghormati dan mengangkat golongan itu pada tahap sepatutnya dalam parti. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

NIK AZIZ: Tidak, tak betul.

MINGGUAN: Bagaimana Tok Guru melihat masa depan Pas dan kepimpinan ulama, adakah parti ini akan terus dipimpin oleh ulama atau mungkin berlaku suatu hari nanti situasi di mana kumpulan profesional diangkat sebagai pemimpin tertinggi?

NIK AZIZ: Sekarang ini golongan profesional semakin ramai dalam Pas dan sedikit masa lagi, saya harap orang yang mengajar Matematik (profesional) ialah orang yang sama mengajar agama. Boleh dua-dua.

Saya memang harap boleh jadi macam itu, yang mengajar agama ialah golongan profesional, yang mengajar Matematik ialah ustaz. Ini kerana ustaz dan profesional itu orang sama dalam Islam.

MINGGUAN: Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini menjadi medan kepada akar umbi meluahkan perasaan sedih dan kecewa terhadap pendekatan pemimpin tertentu Pas yang cenderung mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sejauh mana Tok Guru melihat kebenaran dakwaan mereka itu?

NIK AZIZ: Tak ada sampai macam itu, nak ikut telunjuk macam mana. Pas (ditubuhkan) dulu, Pas wujud tahun 1951, PKR dan DAP tahun berapa? Pas cuma tak banyak bercakap. Lagi pun mahu bercakap banyak buat apa, kita ini sebagai abang. Dua lagi iaitu PKR dan DAP ialah adik. Yang menumpang ialah dua parti itu kerana Pas yang wujud dulu, tahun 1951 lagi.

MINGGUAN: Dalam tahaluf siyasi, tiada mana-mana parti lebih tinggi atau rendah kedudukannya. Namun apa yang berlaku sekarang, Pas sering diketepikan. Malah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sudah mengeluarkan kenyataan tahaluf siyasi perlu dikaji semula. Perlukah Pas berbuat demikian termasuk mempertimbangkan cadangan meninggalkan pakatan?

NIK AZIZ: Nak kaji semula tahaluf tidak apa, tetapi nak tinggalkan tahaluf, tidak. Islam sendiri mahukan tahaluf. Pada zaman Nabi Muhammad SAW pun ada tahaluf macam ini. Tahaluf itu diambil daripada baginda sendiri.

MINGGUAN: Dalam muktamar, Presiden Pas ada sebut tentang golongan ‘broker dan barua’ yang wujud dalam Pas sehingga menjadi musuh dalam selimut yang membahayakan Pas. Adakah benar wujud golongan ini dalam Pas?

NIK AZIZ: Saya tak campur. Dalam mana-mana organisasi pun ada benda tu (broker dan barua). ‘Broker’ ini dalam Islam kita panggil munafik. Golongan munafik inilah ‘broker’. Dalam Islam ada sebut (kewujudan) tiga golongan iaitu mukmin, kafir dan munafik. Tiga kumpulan ini mana-mana pun ada. Jadi dalam mana-mana pertubuhan, tak kira parti ke, korporat ke, semua ada ‘broker’.

MINGGUAN: Jadi bagaimana Pas mahu memastikan parti bersih daripada golongan ini?

NIK AZIZ: Itu terletak pada iltizam masing-masing. Sama ada mempunyai iltizam atau tidak iltizam.

MINGGUAN: Selepas ada krisis dalam Pas, sekarang wujud pula badan yang menggelar diri mereka Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma). Pasma ini mendakwa sebagai organisasi yang mahu mengukuhkan hubungan Pas dengan PKR dan DAP. Cara dia adalah cuba mencorak semula pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan akibat diterajui golongan ulama. Pendek kata, Pasma ini dikatakan bakal jadi Pas ‘baharu’.

NIK AZIZ: Pasma yang timbul ini tidak tahu boleh kata Pas baharu atau tidak, itu dia punya pasal. Saya masuk Pas ketika zaman Datuk Mohd Asri Muda. Bila UMNO ajak Pas masuk Barisan Nasional (BN), Pas berpecah belah kepada empat. Ada Hamim, Berjasa, Bebas Bersatu dan Pas. Saya antara orang yang menyokong Pas masuk BN, maka saya berada di pihak yang melawan Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu.

Bagaimanapun Alhamdulillah, orang itu semua sudah tidak ada sekarang. Ini semua kerana iltizam, yang kita sebut juga sebagai istiqamah. Pas yang ada sekarang istiqamah dengan perjuangan Islam. Saya tak nampak Pasma boleh gantikan Pas, apatah lagi UMNO, jauh sekali. UMNO yang bawa kebangsaan tidak akan dapat menyelamatkan orang Melayu daripada akhirat. Saya tak bimbang dengan Pasma, tetapi kecewa itu ada. ~utusan





Iklan C (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...