Tuesday, 9 September 2014

Bukti Pesuruhjaya PAS Selangor Bakal Menjadi MB Jumaat Ini Tersebar?


Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad tidak tahu beliau bakal megangkat sumpah sebagai menteri besar Jumaat ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka itu turut menafikan dipanggil untuk mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti dilaporkan media semalam.

"Saya tidak tahu pun yang saya kononnya akan angkat sumpah Jumaat ini," katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor itu melalui akaun Facebooknya.

Semalam beberapa portal berita dan blog melaporkan Iskandar akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Jumaat ini.

Beliau juga dilaporkan dipanggil mengadap Sultan di samping 2 lagi exco PAS Selangor iaitu Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Iskandar berkata, beliau kini memberikan tumpuan kepada anaknya Ismail yang mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar nama 2 Adun PKR dan seorang Adun PAS untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Nama Adun PAS itu kemudiannya dikatakan Iskandar manakala dua Adun PKR adalah Dr Idris Ahmad (Ijok) dan Dr Yaakub Sapari (Kota Anggerik).

Semalam Sultan Selangor murka dengan tindakan PKR dan DAP yang enggan mematuhi perintah baginda agar menghantar lebih 2 nama ke istana.

Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Adun lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.

"Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, semalam. ~tmi






Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...