Monday, 29 September 2014

Berita Yang Akan Jadi Sensasi Pada Hari Ini..


Pembahagian portfolio di kalangan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) PAS Selangor hari ini kritikal bagi menentukan sama ada PAS akan kekal dalam kerajaan negeri atau tidak berikutan khabar angin mengatakan mereka hanya akan mendapat portfolio yang tidak penting saja.

Menurut sumber, Menteri besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali akan mengadakan perbincangan dengan exconya bagi menentukan portfolio masing-masing hari ini.

Salah seorang exco daripada PAS, Mohd Zaidy Abdul Talib ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan menteri besar akan mengadakan perbincangan hari ini bagi menentukan portfolio exco.

"Ya betul, tetapi saya tidak tahu apa-apa mengenainya setakat ini," kata Zaidy.

Keputusan ini akan dibuat ketika hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat (PR) pada tahap paling kritikal sekarang ini dengan PKR dan DAP dilihat bersatu untuk mengenepikan PAS.

Di Pulau Pinang, seorang ahli majlis kerajaan tempatan PAS, Iszuree Ibrahim dipecat setelah mengkritik kerajaan negeri di muktamar.

Di Sarawak, Pemuda DAP menyifatkan PAS sudah tidak ada dalam pakatan di negeri itu.

AJK PAS Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Aziz pula mendakwa PKR dan DAP meminggirkan PAS.

"Sekarang bergantung kepada Selangor. Jika Azmin juga bertindak pada haluan yang sama, meminggirkan exco daripada PAS, saya yakin PR akan pecah dan ketika itu ahli PAS akan setuju dengan pimpinannya," kata seorang pemimpin kanan PAS kepada The Malaysian Insider ketika membincangkan isu ini.

Dalam kenyataannya sebelum ini, badan bukan kerajaan pro-PR, PasMa juga membuat jangkaan yang sama.

Mereka sangat berharap Azmin bertindak merapatkan PAS dengan PR, bukan menjauhkan lagi hubungan antara mereka.

Ketika ini, apabila PAS hanya diberikan 3 kerusi exco saja berbanding 4 sebelumnya, sudah ada saranan di kalangan pimpinan kanan PAS agar mereka tidak pergi mengangkat sumpah jawatan itu.

Namun, memandangkan ia melibatkan istana dan sangka baik dengan menteri besar baharu itu, ketiga-tiga exco PAS yang dilantik pergi ke istana untuk mengangkat sumpah.

Seorang pengguna laman media sosial Facebook yang pro Umno hari ini mendakwa kononnya 3 exco PAS itu - Iskandar Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dann Zaidy - bakal menerima portfolio yang tidak penting dan ada kaitan dengan kerajaan persekutuan saja, bukan di bawah kuasa negeri.

Antaranya, Iskandar menerima portfolio infrastruktur, Yunus (alam sekitar dan kesihatan) manakala Zaidy (pelancongan dan agama).

Semua portfolio itu terletak di bawah senarai persekutuan di mana kerajaan negeri hanya mempunyai peranan minima. ~malaysian insider






Iklan C (ii)







1 comment:

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...