Sunday, 21 September 2014

Berita Buruk Buat Penyokong Tegar Pakatan Rakyat

Tuan Guru Haji Hadi

Pemerhati dan pihak media pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam dikejutkan dengan kemarahan yang ditunjukkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya.

Kemarahan itu, seperti juga isi kandungan ucapannya, bukan petanda baik untuk PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tiga hari lepas, ucapan dasar Hadi penuh dengan keterbukaan dan belas ehsan terhadap semua, baik penyokong mahu pun pengkritik.

Sebaliknya, kenyataannya pada hari terakhir muktamar yang penuh dengan rungutan dan kemarahan itu ialah tentang bagaimana beliau akan memastikan PAS ikut rentaknya sendiri apabila berhadapan isu dasar dan tadbir urus, walaupun ia sebahagian daripada sebuah gabungan.

Beliau tidak cuba membentuk kesepakatan antara dua puak bersaing dalam PAS, iaitu golongan konservatif dan golongan progresif. Sebaliknya, Hadi mempertahankan puritanisme yang mempengaruhi cara puak konservatif dalam partinya beroperasi.

"Jangan jadikan PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan. Kita bertahaluf dengan PKR, DAP melalui titik persamaan.

"Ahli PAS mesti faham ada perbezaan. PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular sosialis. Kita bukan satu parti," katanya dalam ucapan penggulungannya.

Walaupun beliau tidak menyatakannya secara khusus, Hadi sudah cukup membayangkan yang PAS akan menerima jawatan menteri besar Selangor sekiranya dipilih Sultan.

"PAS tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar. Walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar, walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi ingat, di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja.

"Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri."

Hadi merujuk keputusan yang dibuatnya menghantar tiga nama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor ke istana, salah seorangnya Adun PAS.

Keputusan itu disokong Majlis Syura Ulama yang besar kuasanya, tetapi tidak dipersetujui Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

AJK PAS Pusat memihak kepada rakan dalam Pakatan, iaitu PKR, dan mahu nama presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dihantar kepada Sultan bersama dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Hadi pernah menyebut sebelum ini yang PAS akan akur dengan apa saja keputusan Sultan Selangor.

"Ucapannya agak beremosi. Seolah-olah selama ini beliau memendam rasa di dalam dan akhirnya ia pecah keluar tiba-tiba," kata seorang AJK PAS Pusat selepas muktamar berakhir.

Menurut pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan itu, tidak seperti ucapan dasar Hadi, ucapan penggulungannya seperti melepaskan kemarahan kepada pengkritiknya dalam AJK Pusat.

"Beliau tidak langsung mengiktiraf sesiapa pun di antara kami, kecuali mungkin seorang," katanya.

Ucapan presiden semalam dikatakan tidak cuba mendekatkan ahli PAS dari golongan konservatif dan golongan progresif. 

Hadi secara jelas menyatakan dia berhak membuat keputusan sebelah pihak yang difikirkannya sendiri walaupun bertentangan dengan kemahuan AJK Pusat.

Beliau juga menekankan parti itu mesti dipandu ajaran Al-Quran dan Sunnah mengikut tafsiran Majlis Syura.

Ini bertentangan dengan pendirian AJK Pusat yang mengatakan hujah agama mesti diseimbangkan dengan fikiran yang logik dan rasional.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin PAS seperti Nasrudin Hassan dari golongan "ulama" mengalu-alukan ucapan Hadi.

"Tujuannya ialah untuk memperkuatkan kita dari dalam, supaya kita ada pendirian sendiri apabila berurusan dengan Pakatan.

"Ini akan bantu kita mempertahankan diri dari tuduhan yang PAS hanya menjadi pak turut kepada rakan parti dalam Pakatan."

Seorang lagi pemimpin kanan PAS berkata, nada ucapan presiden membawa maksud pertelingkahan akibat krisis menteri besar Selangor tidak selesai dalam masa terdekat.

"Ia boleh berlanjutan hingga tahun depan dan mempengaruhi pemilihan parti kita," kata pemimpin itu yang juga tidak mahu dikenali.

Tetapi, pada jangka sederhananya, sekiranya Hadi berpegang teguh kepada keputusannya menerima menteri besar dari PAS, ia bakal memecahkan Pakatan.

"Jika menteri besar dari PAS, sudah tentu beliau akan menghadapi undi tidak percaya dari PKR dan DAP," kata seorang pemimpin DAP yang enggan mendedahkan identitinya.

Hal ini keranaia bertentangan dengan kesefahaman yang dicapai Majlis Presiden Pakatan dalam memutuskan kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR.

Sekiranya menteri besar dari PAS itu menerima usul undi tidak percaya dalam sidang DUN pada November, ia mungkin menyebabkan pilihan raya negeri.

Dan PAS dijangka menerima kesan paling besar, sesuatu yang disedari kepimpinan parti.

Dalam ucapannya, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata daripada 15 kerusi DUN Selangor dimiliki PAS, 9 daripadanya dimenangi dengan majoriti kecil.

Husam memberi amaran pilihan raya negeri pada ketika ini bakal memusnahkan parti.

Lapan daripada kerusi PAS itu mempunyai populasi bukan Islam yang sangat besar. Tanpa sokongan DAP dan PKR, PAS bakal berhadapan dengan kehilangan undi yang besar.

"PAS mungkin tidak sedar bahawa rakyat yang meletakkan Pakatan di mana ia berada sekarang. Mereka percayakan PAS kerana sangka PAS dapat memberikan sesuatu yang lebih baik.

"Namun jika ia (pilihan raya negeri) berlaku, kepercayaan itu akan hilang," kata pemimpin DAP itu. ~malaysian insider









Iklan C (ii)






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...