Thursday, 25 September 2014

Azmin Ali Lantik Wan Azizah Sebagai Exco?

azmin ali

Tidak timbul soal akan ada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang digugurkan di bawah kepimpinannya kerana empat anggota Exco sedia ada dari Pas telah meletakkan jawatan semalam, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) petang ini untuk membentuk pasukan Exco yang baru terdiri daripada 10 anggota.

"Jangan kata saya gugurkan mereka, saya tidak gugurkan mereka. Mereka yang meletakkan jawatan sebagai anggota Exco semalam.

"Jadi, kerajaan negeri hari ini tidak ada anggota Exco. Saya telah meminta tiga parti dari PR iaitu PKR, DAP dan Pas mencadangkan nama calon masing-masing untuk kita teliti dan bincang, sebelum saya mengadap Tuanku Sultan (Sultan Sharafuddin Idris Shah) esok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan kerajaan negeri di Bilik Gerakan Negeri di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Empat anggota Exco dari Pas yang meletakkan jawatan semalam ialah Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Halimah Ali.

Menurut Mohamed Azmin, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PR dijangka hadir pada majlis angkat sumpah Exco Kerajaan Negeri termasuk Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai butiran mesyuarat pagi tadi, beliau yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata, ia lebih kepada mesyuarat mingguan dan perancangan yang akan dilaksanakan minggu depan.

"Ini mesyuarat pertama saya sebagai Menteri Besar dengan ketua-ketua jabatan. Perbincangannya lebih kepada memperincikan gerak kerja kerajaan negeri," katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada Dr. Wan Azizah akan dilantik sebagai anggota Exco, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, tengok Jumaat ini. ~malaysia gazzette




Iklan C (ii)





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...